INSWA pusat sehenti penghasilan produk warisan dan budaya
AYER KEROH 1 Sept. – Institut Warisan Melaka (INSWA) menjadi pusat sehenti bagi penghasilan produk berteraskan warisan dan budaya negeri bagi orang ramai mendapatkan koleksi hadiah dan cenderamata.
Antara produk yang dihasilkan termasuk songket Melaka, tepak sireh bunga kesidang, setanjak, keris, bakul sia, terompah, anyaman bakul, dokoh dan inang-inang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata INSWA mensasarkan untuk melestarikan produk pelancongan negeri seiring dengan peredaran masa supaya produk warisan itu tidak ketinggalan zaman pada masa akan datang.
Menurutnya, pada masa sama pusat sehenti itu juga berperanan untuk membantu usahawan di negeri ini memasarkan barangan hasil tangan kraftangan ke seluruh negara dan ke peringkat antarabangsa.
Katanya, produk warisan INSWA itu juga boleh dijadikan sebagai cenderamata kepada tetamu tempatan mahupun pelancong dari luar negara.
“Produk ini kita harap menjadi satu ikon cenderahati kepada pengunjung, yang mana sasaran kita adalah pasarkan ke seluruh negara dan program pertama yang akan dijalanlan ialah pertukaran produk pelancongan di Sabah pada 17 September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka di Kota Cemerlang di sini yang turut dihadiri Pengurus Besar INSWA Nurman Mohd Baroldin.
Muhammad Jailani berkata, setakat ini sebanyak 50 jenis produk warisan negeri dihasilkan membabitkan hasil daripada 66 usahawan.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan semua etnik Negeri Melaka, sekiranya ada daripada kalangan persatuan seperti Persatuan Portugis, jika ada cenderahati atau artifak boleh terus ke INSWA bagi tujuan pemasaran produk.
“Saya nasihatkan INSWA supaya membuat perjanjian khusus iaitu perjanjian pembekalan supaya bekalan produk boleh didapati secara berterusan dan sentiasa ada dalam pasaran.
“Jika ada pengedar dari luar Melaka supaya menghubungi INSWA untuk menjadi pengedar barang warisan ke seluruh negara,” katanya.