Jabatan Penyiaran mohon maaf Tawau.FM siar azan Maghrib lebih awal
Pengarahnya Zulkefli Mohd berkata jabatan itu menyedari kepentingan siaran azan khususnya pada waktu maghrib sepanjang Ramadan sebagai panduan untuk umat Islam berbuka puasa, bagaimanapun penyiaran azan maghrib empat minit lebih awal semalam adalah tidak disengajakan.
“Jabatan Penyiaran Malaysia negeri Sabah memandang serius perkara ini dan akan memastikan waktu siaran azan diberi perhatian dan keutamaan kerana melibatkan kepentingan umat Islam khasnya,” menurut beliau dalam kenyataan malam ini.
Semalam, pada hari pertama umat Islam berpuasa, seorang penyampai stesen radio tempatan di Tawau telah tersilap menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal di daerah itu dan kejadian tersebut tular di media sosial sehingga netizen mendakwa ada penduduk tersalah berbuka puasa.
Penyampai itu Mohd Safwan Junit menerusi akaun Facebooknya meminta maaf dan mengakui kesilapannya serta menjelaskan berlaku kesilapan teknikal dengan penyiaran dua kali azan maghrib iaitu pada 6.16 petang dan 6.20 petang.
Hari ini, Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar dilapor berkata individu yang tersalah berbuka puasa kerana mengikut azan maghrib di radio yang disiarkan lebih awal daripada waktunya, puasa mereka dikira terbatal dan wajib diganti selepas bulan Ramadan berakhir mengikut hukum syarak. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.