Bazar Ramadan: Mahal tapi berpada-pada
PERINGGIT 3 April – Rata-rata peniaga di bazar Ramadan tahun ini terpaksa meningkatkan harga jualan mereka berikutan kenaikan harga bahan mentah di pasaran ketika ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini di Tapak bazar Ramadan Peringgit mendapati harga-harga makanan dan minuman dijual agak tinggi namun kadar kenaikan itu tidak melampaui batas dan mampu dibeli pengunjung.
Bagi Peniaga Martabak Rendang Pak Tan, Mohd Razi Hamid, 38 berkata dia terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti ayam, daging dan sayuran mahal.
Katanya, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual akan dikekalkan tetapi harga mungkin dinaikkan pada kadar 50 sen ke 80 sen bagi setiap jualan.
“Peningkatan harga pada sayur, ayam, daging dan telur paling ketara. Kebiasaan saya beli telur Gred B sepapan baru RM9 tapi kali ini harga sepapan meningkat kepada RM13.
“Saya sekali beli memang beli 12 papan telur untuk dibuat meniaga, memang terasa peningkatan harga dan itu belum masuk lagi barangan lain yang meningkat.
“Jadi kami peniaga-peniaga harap sangat kerajaan dapat turunkan harga bahan mentah, jangan terhadkan kami peniaga beli minyak masak satu kedai, satu bungkus sahaja,” katanya ketika ditemui hari ini.
Nada sama turut disuarakan buat peniaga air balang 7 Jenis, Mohd Muallim Ab Rahim, 37.
Katanya, meskipun hanya menjual air balang namun kenaikan bahan asas seperti susu pekat menyebabkannya terpaksa untuk menaikkan harga air.
“Saya yang jual air juga terkesan bila harga barang naik, barang-barang kering, cawan, plastik semua turut meningkat.
“Oleh itu, saya terpaksa naikkan harga jualan sebekas air 500 mililiter kepada RM3.50 manakala air plastik satu liter dijual pada harga RM5.
“Kita sebagai peniaga pun tidak boleh jual terlalu mahal kerana keadaan ekonomi juga masih belum pulih, kasihan kepada pembeli,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan turut mendapati bazar Ramadan mulai sesak bermula jam 5 petang.
Bagaimanapun orang ramai tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun agak sukar untuk mengawal penjarakan sosial.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.