Hanya beberapa jam menjelang 1 Ramadan, orang ramai sibuk buat persiapan
Ketika negara dalam Fasa Peralihan ke Endemik seiring dengan pemulihan semula ekonomi negara, peniaga barangan keperluan harian turut menerima manfaat daripada kunjungan orang ramai yang membuat persiapan bagi menyambut ketibaan bulan mulia ini.
Orang ramai dan peniaga menzahirkan kesyukuran serta menyifatkan sambutan Ramadan kali ini lebih bermakna memandangkan negara berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang menyaksikan terdapat kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).
Di Pasar Chow Kit, jumlah pengunjung adalah luar biasa berbanding hari-hari sebelumnya apabila mereka tidak melepaskan peluang untuk membeli barang keperluan harian sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Pertambahan kenderaan ke pasar itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Pahang, Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Bot sebelum anggota polis mengawal aliran trafik di jalan terbabit.
Tinjauan di sekitar PUTRAJAYA pula mendapati pelanggan mengunjungi Pasar Awam Presint 8 seawal 8 pagi untuk membeli barangan basah segar seperti hasil laut, ayam dan daging serta sayur-sayuran.
Rata-Rata pengunjung mematuhi SOP pencegahan COVID-19 dengan mengimbas kod MySejahtera, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki premis terbabit.
Di SELANGOR, keterujaan orang ramai menyambut bulan Ramadan dapat dilihat apabila mereka masih memenuhi Pasar Moden Seksyen 6 di Shah Alam untuk membeli barangan keperluan walaupun tempoh operasi pasar itu tamat pada 1 tengah hari.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Moden Seksyen 6 Ismail Kamarudin berkata ada yang datang seawal 4.30 pagi bagi membeli keperluan harian dan barangan basah kerana sudah menjangka mereka perlu beratur panjang untuk memasuki premis itu.
Di Seremban, NEGERI SEMBILAN tradisi ‘mantai’ yang menjadi identiti negeri itu menjelang Ramadan dan Aidilfitri lebih meriah pada tahun ini apabila orang ramai mula beratur untuk membeli daging sejak awal pagi.
Penjual daging Mohd Fadhil Asnawi Zaaidin, 30, yang sudah empat tahun berniaga berkata dia menyediakan tujuh ekor lembu untuk mantai di Pasar Ampangan kali ini dengan persiapan untuk jualan sudah bermula sebelum Subuh.
Di MELAKA, masyarakat sekitar Alor Gajah membuat persiapan Ramadan dengan membeli barangan keperluan harian pada harga berpatutan di Karnival Jualan Keluarga Malaysia ‘Mantai Ramadan’ di Taman Melaka Perdana.
Suri rumah Nor Azizah Hassan, 54, mencadangkan agar kerajaan menganjurkan karnival itu dengan lebih kerap khususnya sepanjang bulan Ramadan bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan basah pada harga lebih rendah.
Di JOHOR, pengusaha barangan basah terutama di Pasar Awam Larkin yang sering menjadi tumpuan penduduk bandar raya itu turut diserbu orang ramai dan rata-rata pengusaha tidak menang tangan melayan pembeli sejak awal pagi.
Malah ada di antara mereka hampir kehabisan barangan jualan seperti penjual sayur-sayuran Zalini Yasin, 52, yang turut mengharapkan situasi seumpama itu terus berkekalan bagi merancakkan lagi perniagaan mereka yang agak ‘lesu’ sejak dua tahun lepas.
Di PULAU PINANG, peniaga barangan kering dan kelapa di Pasar Awam Jelutong, Mohamad Sadik Mydin, 45, berkata barangan keperluan seperti bawang, ubi kentang, rempah ratus dan santan sangat laris dijual hari ini.
“Orang ramai mula membeli barangan keperluan untuk disimpan di rumah supaya tidak perlu ke pasar setiap hari kerana keadaan kes COVID-19 masih tinggi,” katanya sambil menambah jualan harian meningkat 20 peratus sejak dua hari lepas ketika orang ramai membuat persediaan untuk menyambut Ramadan.
Di Pasar Besar Alor Setar, KEDAH, jalan raya sesak dengan kenderaan seawal 9 pagi dan orang ramai berpusu-pusu membeli barangan keperluan manakala rata-rata peniaga di tapak Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Darul Aman telah membuat persiapan jualan di premis masing-masing.
Peniaga minuman, Muhd Subri Harun, 54, berkata dia mengeluarkan modal yang lebih besar pada tahun ini berbanding tahun lepas kerana menjangkakan orang ramai lebih bebas berkunjung ke Bazar Ramadan berikutan negara kini berada di Fasa Peralihan ke Endemik.
Di TERENGGANU, seorang peniaga Azimah Taib, 48, berkata dia tidak sabar menantikan suasana Bazar Ramadan yang sangat meriah terutama pada penghujung bulan puasa.
Peniaga ikan bakar di Bazar Ramadan Gong Badak sejak 2012 itu berkata menjelang Aidilfitri, golongan perantau akan pulang ke kampung halaman dan berkunjung ke bazar untuk mendapatkan menu masakan Terengganu termasuk juadah jualannya.
Di KELANTAN selain pasar basah, sebuah bangsal menjual daging di Kampung Jambu Merah, Melor, Kota Bharu menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan ‘daging batang pinang.’
Peniaga daging Zakaria Awang, 69, berkata beliau menyembelih 10 ekor lembu sejak 3 pagi untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Di PAHANG, Nor Hafsah Omar dan suaminya, Muhammad Syafik Ab Rahman, tidak menang tangan menyiapkan tempahan jeli cincau yang diterima daripada pelanggan untuk digunakan dalam penyediaan minuman serta makanan sebagai juadah berbuka puasa esok.
Pasangan suami isteri yang sudah mengusahakan perniagaan itu sejak tiga tahun lepas berkata sebanyak 400 pek jeli cincau dan 300 botol minuman cincau telah disiapkan untuk dijual kepada pelanggan seeta ejen jualan selain menempatkannya di pasar raya sekitar Kuantan bermula esok.
Di Pasar Besar Sena, PERLIS seorang peniaga daging, Abdul Mutalib Ghani, 45, berkata jumlah pengunjung ke pasar itu hari ini bertambah berbanding hari biasa dan pengunjung tidak putus-putus datang sejak ia mula beroperasi bagi mendapatkan bekalan daging sempena Ramadan.
Di PERAK, pengunjung mula mendapatkan barangan keperluan asas seawal 7.30 pagi di pasar besar di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.