Sorting by

×

Tiada insentif pengeluaran getah bagi Mac 2022

Masa Membaca:55 Saat

KUALA LUMPUR, 2 April – Lembaga Getah Malaysia (LGM) pada Sabtu memaklumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tidak teraktif untuk pekebun kecil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi Mac 2022.

LGM menjelaskan ini kerana, sepanjang bulan tersebut, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap di Semenanjung adalah RM2.95 sekilogram, Sabah pula pada RM2.60 sekilogram dan Sarawak dengan harga RM2.80 sekilogram.

“LGM ingin memaklumkan bahawa IPG getah sekerap dan susu getah tidak teraktif bagi Mac 2022 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Oleh yang demikian, tiada pembayaran dilakukan untuk tempoh bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada pada paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang getah sekerap berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah, tambahnya.

Menurut LGM, IPG susu getah akan teraktif apabila IPG getah sekerap teraktif.

Kadar IPG susu getah adalah tetap iaitu RM0.90 sekilogram 100 peratus Kandungan Getah Kering (KGK).

IPG dibayar kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang berkelayakan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1431
Kongsi :
Previous post Cipta kelainan berbuka puasa di atas Kapal Mendam Berahi
Next post KM seru kakitangan awam Melaka sertai koperasi
Ubah saiz-+=