KPDNHEP patahkan 714 cubaan menyeludup keluar barang kawalan bernilai RM6.6 juta
PASIR MAS, 1 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan 714 kes cubaan menyeludup keluar barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan nilai RM6.6 juta sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 250 kes adalah dari aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi, di pintu sempadan di seluruh negara melibatkan nilai rampasan RM5.18 juta.
Katanya, setakat tahun ini dalam tempoh dua bulan sejak Jan lalu, sebanyak 31 kes penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi di pintu sempadan negara telah dihasilkan, melibatkan nilai rampasan RM1.71 juta di bawah akta yang sama.
“Pihak KPDNHEP memandang serius isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya yang berlaku di pintu sempadan negara. Isu penyelewengan yang berlaku di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura, merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian kementerian.
“Ia sekali gus boleh memberi impak negatif dan kerugian kepada negara, selain barang kawalan dan bersubsidi ini sepatutnya dinikmati oleh Keluarga Malaysia, tetapi telah diseleweng atau diseludup oleh penjenayah yang tidak bertanggungjawab, demi mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan aktiviti haram ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Pemantauan Pembukaan Sempadan Negara Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rosol berkata susulan pembukaan sempadan negara bermula hari ini terutamanya di Bukit Kayu Hitam dan Wang Kelian, KPDHEP akan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk sempadan dengan agensi-agensi berkaitan.
Katanya, KPDNHEP mengingatkan kepada para peniaga agar lebih bertanggungjawab apabila berurus niaga dengan barang kawalan dan bersubsidi.
“Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikenakan ke atas mana-mana orang yang cuba untuk melakukan penyelewengan atau penyeludupan ke atas barangan kawalan dan bersubsidi dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan dendan tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.
“KPDNHEP juga akan mengambil tindakan yang lebih tegas dengan menggantung lesen yang berkaitan ke atas mana-mana pihak yang bersubahat di dalam aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi,” katanya.
Ujar beliau lagi, masyarakat digalakkan untuk bersama-sama membantu kerajaan dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat dan aduan berhubung isu penyelewengan, penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.