Ismail Sabri tiba di Jakarta untuk lawatan kerja
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 7 pagi waktu Indonesia barat, kira-kira 8 pagi waktu Malaysia.
Beliau dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, seterusnya menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman berhubung penggajian dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI).
MoU bersejarah itu bakal ditandatangani Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan bersama rakan sejawat Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah.
Malaysia dan Indonesia pertama kali menandatangani MoU PDI itu pada 13 Mei 2006 di Bali dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016.
Selesai acara, Ismail Sabri dan Jokowi, yang bertemu buat kali kedua dalam tempoh lima bulan sejak November 2021, akan mengadakan sidang media sebelum menunaikan solat Jumaat bersama di Istana Merdeka.
Terdahulu, ketibaan perdana menteri di lapangan terbang disambut oleh Ida Fauziyah, Saravanan dan Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.