SPMS bantu perkara pengurusan ladang peneroka Felda
BANGI, 30 Mac – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini melancarkan Sistem Pengurusan Ladang Pintar (SPMS) bagi memperkasa pengurusan ladang peneroka dengan asimilasi teknologi dan konsep perladangan pintar.
Pengarah Besar Felda Datuk Amiruddin Abdul Satar semasa berucap pada majlis pelancaran SPMS sempena Hari Teknologi Felda (FELTECH) 2022 berkata SPMS dibangunkan dengan capaian data menggunakan teknologi UAV (pesawat tanpa pemandu) atau dron bagi model pertanian pintar untuk merealisasikan konsep pertanian jitu atau pertanian digital.
“Ia dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta mengurangkan kos operasi ladang,” katanya. SPMS dilancarkan oleh Ahli Lembaga Felda merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Felda Abd Halim Abd Majid.
SPMS, yang diintegrasikan dengan sistem e-GIS (Sistem Maklumat Geografi) Felda sedia ada, boleh digunakan bagi analisis kawasan, dirian pokok, status kesihatan pokok, kawasan kosong, penggunaan buruh dan juga anggaran hasil bagi ladang peneroka.
Abd Halim semasa berucap berkata SPMS akan mengubah cara kerja Felda untuk lebih ke arah teknologi dan mekanisasi serta solusi pertanian secara digital dalam melaksanakan pertanian persis iaitu penternakan tau pertanian kejituan khususnya dalam inventori perladangan.
Seramai 1,800 peserta yang majoritinya terdiri daripada warga Felda menghadiri program FELTECH 2022 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.
Antara objektif FELTECH 2022 adalah menyebar luas pelaksanaan teknologi dan mekanisasi ladang di tanah rancangan Felda dan meningkatkan kesedaran warga Felda tentang kebaikan penggunaan mekanisasi dan memperkasa pengurusan operasi ladang menggunakan teknologi dan mekanisasi.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.