MoF yakin sektor kewangan akan menyumbang kepada kejayaan agenda kemampanan negara
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Kementerian Kewangan (MoF) yakin sektor kewangan akan menyumbang kepada kejayaan agenda kemampanan atau kelestarian negara kerana kementerian itu berserta agensinya telah membuka jalan untuk pembiayaan pembangunan mampan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata institusi kewangan mesti bekerjasama untuk memastikan ketersediaan dana untuk pembangunan mampan.
“Institusi kewangan harus menerima agenda kemampanan dan menyampaikan komitmen mereka, sama ada melalui pembiayaan atau melalui operasi dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing seperti mengutamakan vendor dan rakan kongsi yang turut komited terhadap agenda kemampanan.
“Institusi kewangan juga mesti membantu kerajaan dalam menjadikan agenda kemampanan hala tuju utama merentasi seberapa banyak sektor dan industri secepat mungkin,” kata Tengku Zafrul dalam ucap tama pada persidangan “MARC 360: Sustainable Development Financing 2022” di sini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Datuk Seri Asri Hamidon hari ini.
Dalam ucapannya, menteri itu menambah MoF telah memulakan langkah-langkah khusus budget-tagging untuk memastikan kementerian-kementerian lain berbelanja mengikut jangkaan kemampanan Malaysia.
Bagi mengekalkan momentum proses hala tuju utama, Tengku Zafrul berkata institusi kewangan mesti berkongsi data penting mengenai bagaimana setiap industri ‘’terbentuk’’ dari segi kemampanan supaya dasar masa depan boleh diubah suai dengan sewajarnya untuk menambah baik penyesuaian iklim dan strategi pengurangan krisis secepat mungkin.
Mereka juga mesti membantu kerajaan dalam membolehkan dan menambah baik kapasiti penyesuaian isi rumah dan perniagaan, katanya.
“Selain daripada menyediakan insentif, kita juga mesti menghapuskan halangan seperti kekurangan maklumat dan pembiayaan, serta kecenderungan tingkah laku dan pasaran yang tidak sempurna — kita boleh menyokong inovasi dan teknologi yang betul untuk mengurangkan iklim dan risiko lain jika kita bekerjasama untuk menjadikan maklumat ini tersedia.
“Kita mahu memastikan pembiayaan tersedia untuk penyelesaian alam sekitar atau sosial yang mungkin mempunyai kos pendahuluan yang tinggi dengan membolehkan syarikat baharu melalui platform seperti Penjana Kapital,” kata Tengku Zafrul.
Beliau menambah MoF akan terus memberikan bantuan terus kepada golongan yang tidak mampu untuk melabur dalam inisiatif penyesuaian.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.