Malaysia sertai program 5 tahun Ekspo 2020 Dubai
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Malaysia mengambil bahagian dalam program legasi lima tahun ekspo kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Ekspo 2020 Dubai dan Pavilion Malaysia di tapak ekspo berkenaan akan dikekalkan dan diguna semula untuk lima tahun akan datang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata pavilion itu akan menjadi Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia di UAE dan akan dikekalkan sebagai milik kerajaan, manakala operasinya dijalankan oleh syarikat persendirian Malaysia untuk lima tahun tersebut.
“Hab tersebut akan beroperasi secara kerjasama awam-swasta iaitu pihak kerajaan Malaysia dan entiti persendirian boleh menggunakan fasiliti ini untuk menerima kedatangan pegawai kerajaan dan pegawai atasan, selain sebagai platform untuk mempromosikan produk berasaskan teknologi dan perkhidmatan.
“Transformasi Pavilion Malaysia kepada Hab Teknologi dan Inovasi menunjukkan cita-cita negara untuk menjadi negara digital yang kompetitif pada peringkat global.
“Ia juga memperkukuh komitmen kerajaan untuk menyumbang kepada pembangunan teknologi global dan memperkasa hubungan bilateral serta kerjasama dengan UAE,” katanya pada majlis penyerahan di Dubai, hari ini.
Susulan ini, beliau berkata satu jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Zainal Abidin Abu Hassan akan mengawal selia pemilikan Hab Teknologi dan Inovasi tersebut dan memastikan calon-calon memenuhi kriteria program yakni sebagai pemain penting dalam sektor utama iaitu bandar pintar, logistik pintar, mobiliti pintar atau Industri 4.0.
Syarikat tempatan Kumpulan Aerodyne, yang juga merupakan peneraju di peringkat global dalam industri penyedia perkhidmatan dron, dipilih untuk mengambil alih operasi pavilion berkenaan di UAE dan akan memanfaatkan kemudahan tersebut sebagai ibu pejabat global kedua mereka, katanya.
Dr Adham berkata teknologi Kumpulan Aerodyne mencakupi sehingga ke bidang-bidang seperti mobiliti pintar dan sektor logistik pintar serta dengan keupayaan dan rangkaian hubungan mereka, Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia akan menjadi satu aset berharga kepada pertumbuhan kumpulan itu di rantau tersebut.
Program legasi lima tahun Ekspo 2020 Dubai itu adalah sebahagian daripada inisiatif jangka masa panjang kerajaan UAE untuk mengguna semula tapak acara berkenaan sebagai satu komuniti kegunaan bercampur dikenali sebagai ‘District 2020’ usai Ekspo Dunia itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.