Strategi pasca COVID-19 perlu merangkumi teknologi digital inovatif – Zahidi
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Strategi pemulihan pascaCOVID-19 perlu merangkumi teknologi digital dan model perniagaan yang inovatif untuk Malaysia menjadi lebih berdaya tahan apabila negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata dalam persekitaran digital semasa, perniagaan semakin bergantung kepada teknologi digital dan ia lebih meluas terutamanya apabila pandemik melanda lebih dua tahun lepas.
“Kita telah menyaksikan bagaimana perniagaan terpaksa memasuki era digital atau berisiko ‘tutup kedai’, dan komunikasi dalam talian serta media sosial meningkat dengan begitu pesat berikutan peningkatan keperluan bagi rakyat Malaysia dari semua peringkat umur untuk lebih celik teknologi, sama ada kita suka atau tidak,” katanya pada sesi Forum Meja Bulat Perniagaan Global Malaysia, di sini hari ini.
Zahidi berkata kerajaan akan terus melabur dalam infrastruktur digital, termasuk pelancaran 5G dengan rangkaian baharu itu menyokong sejumlah besar sambungan peranti yang dijangka menjadi lebih pantas, boleh diharap dan efisien
Beliau berkata kuasa dan potensi keupayaan 5G jauh lebih baik membolehkan penstriman video sangat pantas dengan sela masa sifar dan muat turun filem dalam beberapa saat.
“Teknologi 5G baharu akan memberikan rangkaian mudah alih yang lebih stabil untuk aktiviti berkenaan dan akan menyediakan infrastruktur untuk perkhidmatan lain. Ini akan membolehkan pelabur asing dan domestik yang memerlukan jalur lebar berkembang dengan baik pada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Zahidi berkata peluang yang datang bersama digitalisasi juga mengandungi pelbagai bentuk ancaman global dan Malaysia tidak terkecuali daripadanya memandangkan internet serta teknologi digital dianggap sebagai “pedang dua mata” yang boleh digunakan untuk tujuan baik dan buruk.
Beliau berkata ancaman siber yang muncul sekarang semakin jauh lebih canggih, membawa kemusnahan dan mengandungi risiko-risiko serius, serta menjadi cabaran kepada individu dan negara.
Sehubungan itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk sektor korporat memiliki ketahanan dan asas kepada daya tahan dalam ekonomi digital ialah keselamatan siber.
“Sebagai pusat teknikal dan pakar keselamatan siber, CyberSecurity Malaysia terus berada di barisan hadapan dalam usaha melindungi infrastruktur dan ekosistem perniagaan,” katanya.
Zahidi berkata keselamatan siber adalah komponen utama dunia digital dan teknologi tinggi masa kini, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pemain keselamatan siber melalui Perkongsian Awam-Swasta bagi membangunkan dasar-dasar yang lebih inovatif.
Beliau berkata keperluan untuk keselamatan siber membabitkan manusia, proses dan teknologi yang agak kritikal dan keperluan sebegitu akan terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.