Tun Dr Mohd Ali Rustam dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan
ARAU, 29 Mac – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Hon. D. Dev. Econs) kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam bagi menghargai sumbangan beliau yang cemerlang dalam bidang ekonomi.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor USM berkenan menyampaikan ijazah kehormat itu kepada Mohd Ali sempena sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-59 USM yang berlangsung di Istana Arau di sini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.
Sidang pertama itu adalah untuk meraikan penerima ijazah kehormat itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan universiti terhadap sumbangan Mohd Ali yang cemerlang dalam bidang ekonomi yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Mohd Ali yang juga Alumni Terbilang USM itu terkenal dengan ketokohannya dan banyak menyumbang dalam aspek kemajuan ilmu, perkembangan dan penyebaran pengetahuan serta kepakaran.
Raja Perlis dalam titahnya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka itu atas penganugerahan ijazah kehormat berkenaan dan baginda percaya yang anugerah itu tepat sekali dengan sumbangan besar Mohd Ali terhadap USM, negeri Melaka dan negara umumnya.
“Tuan Yang Terutama Tun telah menunjukkan kecemerlangan beliau sebagai alumni berilmu yang mentransformasikan komuniti sehingga mencapai tahap yang tinggi.
“Saya percaya terdapat ramai lagi alumni USM yang berjasa besar dan boleh menjadi contoh teladan seperti Tuan Yang Terutama Tun. Cabaran utama universiti ialah untuk mendekati mereka ini dan pada masa yang sama melahirkan lebih ramai alumni hebat seperti ini,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah alumni universiti perlu dibawa kembali membantu universiti dalam banyak perkara antaranya bersama-sama memajukan universiti dan menjadi ‘role model’ kepada mahasiswa sedia ada.
“Sejak di universiti mereka tentunya melalui pengalaman yang bermakna untuk mengingati dan kembali kepada kita,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah universiti perlu mendidik serta membentuk siswazahnya untuk sayangkan universiti dalam menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran besar dunia digital sekarang.
“Ini adalah satu sumber utama bakat yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin…saya doakan agar USM terus cemerlang dan terbilang dalam melahirkan siswazah yang berilmu, berakal budi yang tinggi dan berintegriti dalam memimpin masyarakat dan negara.
“Alumni USM perlu menjadi contoh untuk diikuti dan mampu melakukan perubahan dalam masyarakat di mana sahaja berada,” titah baginda.
Sidang kedua hingga ke-12 upacara konvokesyen itu akan bermula pada 21 hingga 31 Mei nanti di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.