Ulang Tahun ke-76: RTM mesti sentiasa kompetitif untuk kekal relevan – Annuar
KOTA KINABALU, 29 Mac – Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang akan menyambut ulang tahun ke-76 pada 1 April ini, perlu sentiasa kompetitif dalam menyiarkan kandungan berita dan rancangan TV termasuk menggunakan teknologi terkini untuk memastikan stesen penyiaran itu terus kekal relevan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata adalah menjadi satu kelebihan kepada RTM kerana mempunyai tenaga kerja berpengalaman, dan pengalaman warga kerja terbabit sangat berharga dalam usaha meningkatkan mutu penyiaran saluran televisyen berkenaan.
“Kita tahu dunia penyiaran sekarang menjadi cukup mencabar, dan setakat ini, kita (RTM) berada di hadapan. Siaran kita dengan penggunaan teknologi sepenuhnya, dan kita juga melaksanakan pelbagai naik taraf. Jika kita ke Angkasapuri, kita akan melihat Media City (Bandar Media) yang akan dirasmikan tidak lama lagi.
“Jika dilihat di kaca televisyen, kualiti penggambaran kita juga adalah sangat baik. Jika diimbas kembali ke belakang, perbezaan dahulu, persaingan pemberitaan tidak ada atau kurang kerana dahulu hampir 100 peratus siaran dimonopoli oleh stesen kerajaan dan peranan (stesen televisyen) swasta agak kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancaran kenderaan Digital Satellite News Gathering (DSNG) RTM Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kepayan di sini hari ini.
Annuar berkata perkembangan dunia teknologi pada masa ini turut menyaksikan bukan sahaja stesen televisyen swasta, bahkan orang perseorangan juga mengendalikan portal berita atau studio masing-masing dengan menyiarkan pelbagai kandungan menarik.
“Bagaimanapun, kita (RTM) kekal sebagai satu saluran penyiaran yang lebih dipercayai. Tahap kebolehpercayaan dan ketepatan pemberitaan (RTM) menjadi identiti yang sukar ditiru, justeru, ia mesti dikekalkan,” katanya.
Mengulas DSNG RTM Sabah, Annuar berkata, ia membolehkan siaran langsung dan rakaman televisyen berdefinisi tinggi (HD) dilakukan dari lokasi termasuk di pedalaman, meskipun tanpa bekalan elektrik atau kemudahan internet seperti 4G, 5G atau LTE kerana ia hanya memerlukan isyarat satelit untuk beroperasi.
Beliau berkata kenderaan DSNG berupa van itu dilengkapi fasiliti produksi penerbitan siaran langsung termasuk tiga kamera yang sekali gus memudahkan kerja-kerja liputan berita terutama di kawasan sukar diakses menggunakan kenderaan seperti sebelum ini untuk membawa peralatan penyiaran.
“Struktur muka bumi Sabah yang agak mencabar, kini bukan lagi menjadi penghalang dalam memberi lebih banyak liputan berita dan penerbitan televisyen secara langsung dari lokasi dengan kualiti penyiaran HD berbanding Standard Definition sebelum ini.
“Dengan kemudahan ini, RTM Sabah diharap dapat memacu perkhidmatan penyiaran lebih unggul khususnya dalam menyampaikan maklumat dan berita sahih, tepat dan mutakhir kepada Keluarga Malaysia di Sabah,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.