Tambah baik kemudahan sukan, riadah
SUNGAI RAMBAI 28 Mac – Pembangunan infrastruktur khususnya pembinaan kemudahan sukan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, usaha itu penting dalam memastikan penduduk DUN Sungai Rambai menikmati kemudahan infrastruktur terbaik
Menurutnya, ia bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk malah menarik kunjungan lebih ramai pelawat ke Sungai Rambai pada masa depan.
“Memang sejak awal lagi tumpuan saya adalah untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur demi keselesaan penduduk Sungai Rambai.
“Ini termasuk menaik taraf kemudahan sukan sedia ada misalnya gelanggang futsal dan sukan takraw serta bola tampar di Seri Mendapat yang menelan kos RM50,000, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada pertandingan akhir bola sepak Liga Juara-Juara YB Sungai Rambai antara KBM Merlimau dan Serkam United yang berpihak kepada Kelab Bola Sepak Merlimau (KBM) dengan 3-0 berlangsung di Padang Seri Mendapat, di sini, semalam.
Setakat ini Siti Faizah, berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang diberikan kepada penduduk DUN Sungai Rambai.
Namun pada masa yang sama beliau mengakui banyak lagi pembangunan perlu dilaksanakan demi menjamin keselesaan penduduk.
Antara usaha penambah baikan dan kerja-kerja naik taraf kemudahan yang berjaya dilaksanakan setakat ini adalah membaiki sistem perparitan di Kampung Paya Buloh Lanchang yang sering dinaiki air sebelum ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.