Pancing keli Pulau Gadong, dapat RM10,000
KLEBANG 28 Mac – Seorang pemancing terkedu apabila ikan keli seberat 1.58 kilogram (kg) yang dipancingnya di Empangan Pulau Gadong, di sini, melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000.
Ia selepas ikan berkenaan muncul ikan terberat dalam pertandingan memancing Joran Darat @Empangan Pulau Gadong, semalam.
Zainudin Suherman, 57 berkata, dia terkejut apabila mengetahui ikan yang dinaikkannya kira-kira jam 10 pagi menggunakan umpan cacing itu muncul johan pertandingan berkenaan.
Ini kerana menurutnya, kebiasaan ikan seberat tidak sampai 2kg jarang memenangi pertandingan.
Bagaimanapun, dia bersyukur dengan kemenangan itu dan menyifatkannya sebagai sebagai rezeki Ramadan untuknya dan keluarga.
“Alhamdulillah rezeki menjelang Ramadan. Memang betul-betul tuah saya hari ini kerana selain menjadi juara, saya turut mendapat tempat ke-14 dan cabutan bertuah.
“Sejak menyertai pertandingan memancing, inilah kali pertama saya mendapat hadiah kemenangan sebesar ini. Syukur alhamdulillah,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas majlis tamat pertandingan berkenaan.
Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik pemancing yang menaikkan keli seberat 0.96kg dan 0.76kg sekali gus membawa pulang RM2,000 dan RM1,000.
Hadiah kemenangan telah disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Klebang Besar Hamzah Ibrahim dan wakil PEMBELA Klebang Besar Amir Isa.
Untuk rekod, Joran Darat @Empangan Pulau Gadong merupakan pertandingan kali ketiga dianjurkan Joran Unggul Event Management dengan kerjasama JAPERUN dan JPKK Klebang.
Seramai hampir 300 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan yang bermula pada jam 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.