Peluang melihat sendiri al-Quran seberat 7.5 kilogram
AYER KEROH 25 Mac- Ekspo Jualan Al-Quran terbesar sempena Pra Ramadan diadakan di Hotel Mudzaffar di sini bermula semalam sehingga 1 April.
Pengarah Komunikasi Korporat Yayasan Restu, Nurashikin Abdul Latiff berkata antara tarikan utama sepanjang ekspo yang buat julung kalinya diadakan di Melaka itu adalah jualan al-Quran seberat 7.5 kilogram.
Katanya, ekspo selama lapan hari itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri proses menghasilkan dan pencetakan al-Quran.
“Ini adalah julung kalinya kami mengadakan pameran luar daripada Yayasan Restu, Melaka adalah lokasi pertama kami mempamerkan keunikan al-Quran yang dihasilkan.
“Lebih menarik, pengunjung boleh menyalin sendiri ayat al-Quran berdasarkan teknik yang kita buat melalui buku khas yang dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ekspo Jualan Al-Quran sempena Jualan Pra-Ramadan di Hotel Muzaffar di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin
Menurutnyam pengunjung juga boleh mendapatkan al-Quran pelbagai jenis dan saiz serta terjemahan dalam tujuh bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin, Kazakhstan, Kemboja selain jawi.
“Pada ekspo ini pengunjung berpeluang membeli al-Quran pada harga istimewa serendah RM20 manakala bersaiz besar pada harga RM450 sesuai digunakan di masjid atau surau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.