Sorting by

×

Sasar 500,000 benih ikan dan udang galah dilepaskan ke sungai terpilih di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SUNGAI RAMBAI 24 Mac- Jabatan Perikanan negeri menetapkan sasaran untuk melepaskan sehingga 500,000 benih ikan air tawar dan udang galah ke beberapa sungai tumpuan di Melaka sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon berkata inisiatif itu dijangka membabitkan peruntukan hampir RM150,000.

Katanya, program pelepasan benih ikan dan udang galah itu membabitkan sungai yang menjadi tumpuan nelayan serta kaki pancing seperti di Sungai Duyong, Sungai Kesang, Paya Lebar, Batu Hampar selain Sungai Chohong.

Menurutnya, program itu mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan memulihara ekosistem ikan air tawar daripada kepupusan.

“Tahun ini kita lepaskan 300,000 benih udang galah dan 200,000 benih ikan air tawar.

“Spesis ikan air tawar yang dilepaskan adalah ikan baung, lampam sungai dan patin tempatan.

“Kami melaksanakan program ini secara berterusan melalui hasil kajian Inventori Sungai terutama di sungai-sungai tumpuan bagi memastikan stok ikan darat ini sentiasa ada,” katanya.

Beliau berkata demikian padad sidang media Program Pelepasan Benih Udang Galah dan Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Negeri Melaka di Laman Belia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata program pelepasan benih ikan dan udang galah itu disifatkan berjaya apabila jumlah ikan yang dilepaskan membiak dengan baik dan pendapatan nelayan darat turut meningkat.

“Pada tahun-tahun mendatang, kebiasaannya selepas benih ikan dan udang galah dilepaskan, kita akan buat pemerhatian atau Kajian Inventori sama ada spesis ikan tersebut sesuai atau tidak di sungai terbabit.

“Kita dapati benih ikan membesar di sungai yang dilepaskan dan pemerhatian sepanjang tahun turut mendapati hidupan itu membiak dengan banyak,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1608
Kongsi :
Previous post APM Melaka sambung semula latihan luar
Next post FAM kekal kaedah ‘gelembung bola sepak’ untuk pertandingan Asia
Ubah saiz-+=