Sorting by

×

Kiosk kontemporari RM1.5 juta ganti Kafe Bas Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 23 Mac – Pusat perniagaan dan gerai makanan di Dataran 1 Malaysia, Klebang bakal berubah ke arah moden dan kontemporari dengan perancangan projek yang telah dirangka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak lama lagi.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, projek pembangunan baharu itu telah dirancang sejak 2020 lagi, selepas mengadakan lawatan ke Klebang dan melihat sendiri kedaifan yang berlaku di beberapa kawasan khususnya membabitkan Kafe Bas yang kian dimamah usia.

Bertitik-tolak daripada itu, ujarnya beberapa siri mesyuarat dan perbincangan telah diadakan sebelum terhasilnya konsep kiosk kontemporari dua tingkat berasaskan kontena yang akan menggantikan konsep Kafe Bas sebelum ini.

Zainal berkata, untuk permulaan sebanyak 14 unit kiosk akan dibangunkan dengan menelan belanja sekitar RM1.5 juta hasil peruntukan sendiri oleh MBMB.

“Konsep ini bagi saya lebih kemas dan teratur dan yang penting ialah kiosk itu tidak akan terkesan dengan air laut, hujan dan sebagainya memandangkan kita akan menggunakan lapisan komposit sebagai material kiosk berkenaan.

“Jadi tender bagi pembinaan kiosk ini telahpun dibuka pada 18 Mac dan akan berakhir pada 11 April depan.

“Kita jangka jika tiada aral, kerja-kerja pembinaan akan bermula pada 26 Mei dan dijangka siap dalam tempoh 26 minggu atau enam bulan lagi sebelum dijangka mula beroperasi pada Disember tahun ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pejabat Datuk Bandar, Bangunan MBMB, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pembinaan kiosk dengan reka bentuk lebih moden dan segar itu bakal mengubah wajah keseluruhan Dataran 1 Malaysia yang terkenal sebagai lokasi tumpuan pengunjung setiap hujung minggu.

Pada masa sama, jelasnya, pembangunan itu juga dapat memartabatkan peniaga di kawasan itu, selain berupaya memberi gambaran imej baik kepada Melaka sebagai negeri pelancongan.

“Secara tidak langsung dengan pembangunan yang kita lakukan ini, ia akan dapat menyokong aspirasi kerajaan negeri yang berhasrat membangunkan Melaka Waterfront Exonomic Zone (M-WEZ) memandangkan Klebang termasuk sebagai antara kawasan jajaran koridor ekonomi pesisir pantai itu,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal berkata, pihaknya juga bercadang untuk menyusun semula seluruh tapak perniagaan di kawasan itu, termasuk Jebat Uptown Street dan tapak Car Boot Sale bagi mewujudkan suasana lebih kondusif dan segar kepada pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1975
Kongsi :
Previous post UTeM, Sawipac jayakan pembangunan industri sawit negara
Next post Usul lanjut Subseksyen 4(5) Sosma tidak diluluskan Dewan Rakyat
Ubah saiz-+=