Sorting by

×

Graduan kewangan selesa petik sirih berbanding makan gaji

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Mac – Meskipun memiliki ijazah dalam bidang kewangan pemuda ini memilih untuk berpanas dan berhujan kerana selesa memetik sirih di kebun diwarisi daripada bapanya berbanding makan gaji seperti kebiasaan graduan lain.

A Hariharan, 23, berkata, kebun sirih seluas 0.4 hektar dibuka oleh bapanya 30 tahun lalu di Simpang Gading, di sini, dianggap sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, membesar dalam kebun berkenaan menambahkan lagi minatnya untuk menyambung perusahaan bapanya yang kini semakin uzur.

“Kebun ini banyak jasa pada saya dan keluarga, ayah gunakan wang hasil jualan sirih untuk tampung pengajian saya di universiti, jadi saya berasa rugi jika tidak teruskan perusahaan ini.

“Saya juga sudah mahir selok belok penjagaan pokok sirih, ia sejenis tanaman yang agak manja daun akan mudah rosak jika kawalan serangga tidak dilakukan.

“Pokok sirih juga tidak boleh terlalu terdedah pada terik matahari, terlalu banyak hujan juga tidak boleh, jadi saya pasang jaring untuk buat teduhan, barulah daun yang dikeluarkan berkualiti tinggi,” katanya.

HARIHARAN bersama Pegawai Pertanian Daerah Alor Gajah, Johanif Johari dan wakil Jabatan Pertanian ketika melawat kebun sirih diusahakan graduan itu baru-baru ini.

Bagi mengembangkan lagi perusahaan itu dia kini dalam proses untuk membuka satu lagi tapak dan memohon bantuan menerusi Program Agropreneur Muda dibawah Jabatan Pertanian.

Selain memiliki kebun lebih besar dan luas dia berharap dapat memasarkan daun sirih ke Singapura, selain bercadang menghasilkan produk penjagaan kulit berasaskan tanaman itu, sekali gus meningkatkan lagi pendapatannya selepas ini.

“Pelanggan tetap memang ada tak kira bangsa, Melayu, Cina, India semua ada, malah ada yang setia sejak 20 tahun lalu, sebab itu saya berasa rugi kalau tidak sambung usaha ayah ini.

“Setiap bulan saya mampu jual sekitar 500 ikat daun sirih berharga RM5 setiap satu, hasilnya berbaloi dan cukup untuk saya yang tinggal di kampung,” katanya.

Sementara itu Pegawai Pertanian Daerah Alor Gajah Johanif Johari berkata, pihaknya kagum dengan kesungguhan graduan berkenaan yang berminat untuk mengusahakan tanaman sirih.

“Bagi saya ini satu kelainan berbanding agropreneur lain yang kebiasaannya memilih untuk mengusahakan tanaman cili, sayur-sayuran atau buah-buahan.

“Kami sentiasa menyokong anak muda berminat menceburkan diri dalam bidang pertanian, dia akan dibantu mengikut kesesuaian agar perusahaan dijalankan mampu dikembangkan lagi,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5195
Kongsi :
Previous post Arab Saudi mansuh semua sekatan COVID-19
Next post Ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock fail tindakan undang-undang
Ubah saiz-+=