Sorting by

×

Banjir: Kerajaan Sabah sumbang 30 enjin sangkut, bot kepada PDRM

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KOTA KINABALU, 23 Mac – Kerajaan Sabah hari ini menyumbangkan 30 enjin sangkut dan bot kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu memudahkan pasukan berkenaan menjalankan operasi ketika berlaku banjir di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata bot-bot berkenaan akan digunakan oleh anggota polis semasa operasi menangani banjir di 10 daerah di Sabah yang dikenal pasti sering dilanda banjir.

“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu melancarkan lagi operasi pihak polis ketika berhadapan situasi banjir di Sabah dan ini adalah komitmen kerajaan dalam membantu pasukan keselamatan khususnya polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan enjin sangkut dan bot berkenaan di sini hari ini.

Pada majlis itu Hajiji turut menyerahkan bendera negeri Sabah serta sumbangan kepada peserta ‘Everset Expedition 2022, Journey To The Top Sabahan’ dan menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada waris perwira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, pada 2013.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata sumbangan kepada waris mangsa itu adalah komitmen agensi kerajaan bagi membantu meringankan beban waris perwira negara yang terkorban semasa mempertahankan kedaulatan negara.

“Selain itu, kita juga menyerahkan bendera Sabah kepada atlet, Adelinah Lintanga iaitu wanita Sabah pertama yang akan menyertai pendakian gunung Everest pada April depan. Kita yakin beliau berjaya sampai ke puncak Everest dan dapat mengibarkan bendera Sabah di sana,” katanya.

Sementara itu Adelinah, 37, yang bakal merealisasikan impian untuk mendaki puncak Gunung Everest pada Mei ini berkata beliau telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menawan puncak tertinggi di dunia itu.

“Saya sangat teruja dan saya tidak sabar untuk mendaki,” katanya.

Dalam pada itu, pendaki solo negara yang pernah menawan puncak Gunung everest, T. Ravichandran akan mengetuai pendakian berkenaan.

Beliau berkata faktor cuaca yang sejuk dan ketinggian akan memberi cabaran yang hebat kepada pendaki namun beliau percaya semua pendaki khususnya Adelinah dapat mengharungi cabaran itu bagi merealisasikan bendera Sabah dapat dikibarkan di puncak Gunung Everest.

“Saya bersama empat lagi pendaki lain termasuk Adelinah akan memulakan pendakian pada 15 April depan dan dijangka akan sampai ke puncak Gunung Everest pada penghujung Mei depan, dan kita akan kembali ke Malaysia pada 2 Jun,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1027
Kongsi :
Previous post PM akan bincang dengan pemimpin ASEAN jadikan Bahasa Melayu bahasa kedua ASEAN
Next post Sultan Johor kurnia DMIJ kepada empat individu
Ubah saiz-+=