Tiada istilah santai nak jadi komando – Komandan PULPAK
SUNGAI UDANG 22 Mac – “Kami orang di lapangan…kami orang di medan tempur, asasnya kami mahir mengendali dan menguruskan diri kami di medan tempur melebihi kemampuan dan juga kebolehan”.
Itu pegangan Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Melaka, Kol Zulkinine Yunus untuk disampaikan kepada penuntut-penuntut yang ingin menyertai kursus komando di PULPAK Kem Sungai Udang.
“Kalau dalam komando semua tahu kita dilatih dengan begitu keras perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal, kita mampu untuk melalui penderitaan cukup hebat dalam fasa ‘training’ (latihan) agar kita dapat menyesuaikan diri dalam situasi perang yang sebenar.
“Kita dengar banyak falsafah biar mandi peluh, jangan mandi darah, berlatih mengikut apa yang kamu ditugaskan, berperang mengikut apa yang kamu latih…itu harus dijiwai dalam kursus-kursus yang ada dalam pusat latihan ini.
“Kursus-kursus ini melibatkan asas, peningkatan dan kepakaran, kursus di sini tiada yang indah…derita sahaja dan mereka harus tahan proses tersebut agar mereka lulus dan boleh bekerja dengan baik…yang datang ke sini tiada istilah santai dan tenang, dia perlu melalui proses itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas Kunjung Hormat MHI di PULPAK Kem Sungai Udang di sini, hari ini.
Kunjungan itu diketuai Ketua Pegawai Operasi (COO) MHI, Anuar Shaari yang berlangsung selama kira-kira satu jam.
Ujarnya, komando dilatih bukan sahaja dalam negara, malah luar negara dan perlu melalui beberapa tahap atau ujian yang getir untuk layak menjadi menjadi komando.
“Sebagai komandan PULPAK, kepada penuntut-penuntut yang datang daripada seluruh jajaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga tentera darat, saya nak mereka ni keluar daripada pusat ini sebagai seorang perajurit yang terlatih.
“Yang mampu untuk melaksanakan tugas dengan benar dan baik, mahir dan handal serta boleh berfungsi sebagai operator tentera darat yang kompeten… kita harus berbangga kerana akhirnya adalah kegembiraan yang diperoleh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.