Mekanisme, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 diumum tidak lama lagi
Menyambut baik pengumuman pelaksanaan gaji minimum baharu mulai 1 Mei seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, Saravanan berkata ia adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lepas.
“Pengumuman ini jelas seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja.
“Langkah ini juga dijangka memberi sumbangan positif dalam merangsang ekonomi negara melalui peningkatan kuasa beli pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini dan ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Feb 2020 dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan ketika pembentangan Bajet 2020.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata kementerian akan memperincikan penangguhan pelaksanaan kadar gaji minimum bagi beberapa segmen majikan khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata terdapat majikan yang diberikan pengecualian untuk melaksanakan kadar gaji itu mulai 1 Mei namun ia masih di peringkat perbincangan.
“Ada beberapa segmentasi majikan (yang akan diberi pengecualian) dalam pengumuman gaji minimum RM1,500 ini, kita akan umumkan kelak.
“Tetapi yang pentingnya, 1 Mei ini kita mengambil pendirian mengubah sistem penggajian yang memberi manfaat kepada golongan B40 dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Masuk Pendidikan dan Latihan Teknikal Vakasional (TVET)@KSM di sini hari ini.
Awang berkata pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan pekerja tetapi juga majikan.
Menurutnya, apabila pekerja mendapat gaji yang selesa, produktiviti mereka akan meningkat sekali gus memberi keuntungan kepada majikan.
“Dengan sistem penggajian yang meletakkan RM1,500 sebagai gaji minimum, dengan keadaan pandemik COVID-19, golongan B40 akan mendapat manfaat yang besar dalam pengumuman ini,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.