Sorting by

×

Dakwa PAS tiada ‘nafsu’ perkukuh MN, perwakilan mahu kerjasama dikaji semula

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kerjasama antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) perlu dikaji semula kerana PAS disifatkan sudah tidak ‘bernafsu’ untuk memperkuatkan muafakat berkenaan.

Itu antara suara perwakilan yang dilontarkan pada perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Bazlan Abd Rahman, pembahas dari Terengganu mencadangkan muafakat itu ditamatkan kerana banyak tindak-tanduk PAS yang membelakangi UMNO dan mula bersifat prejudis menyebabkan MN ‘umpama retak, menanti belah’.

“Di peringkat akar umbi UMNO di Terengganu, jelas mereka mahukan MN ini ditamatkan. Pada mereka untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.

“Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itulah yang ditunggu oleh PAS sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

Malah, Bazlan berkata UMNO sebagai sebuah parti yang kuat tidak memerlukan sokongan daripada pihak lain dan perlu menentukan hala tuju yang benar-benar tuntas terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“…dan lebih besar daripada itu, kekuatan UMNO adalah kerana kita mempunyai pengikut setia yang melebihi tiga juta orang. Tiap-tiap satu daripada 10 orang rakyat Malaysia adalah ahli UMNO.

“Inilah kekuatan sebenar kita. Oleh yang demikian, yakinlah bahawa perjuangan kita ini tidak akan mati hanya kerana kita tidak mahu bersama-sama dengan PAS,” katanya.

Perwakilan Kelantan, Datuk Zawawi Othman meminta pimpinan parti menilai semula MN kerana PAS seolah-olah mudah memberikan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan sesama sendiri.

“Bukan kita menolak PAS, di Kelantan kita tidak menolak PAS, tetapi kita menolak pimpinan PAS yang mulut celupar, tiada pegangan dalam sesuatu perkara.

“Pemimpin UMNO tidak pernah mengkritik PAS demi menjaga kemuafakatan dalam parti,” katanya.

Zawawi juga menyeru semua kepimpinan tertinggi UMNO berpegang pada prinsip parti dan tidak memberi ruang kepada individu lain yang cuba memecahbelahkan hubungan serta merosakkan parti.

Katanya menjadi harapan ahli melihat semua pimpinan tertinggi UMNO kekal kuat dan bersatu supaya dapat menguatkan perpaduan dalam kalangan peringkat akar umbi.

“Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) merangkap Naib Presiden parti adalah permata parti. Lakukan terbaik untuk parti, bahagiakanlah kita, berpecah anda, marahlah kami,” katanya.

Pada 14 Sept 2019, pada Himpunan Penyatuan Ummah Piagam MN dimeterai antara UMNO dan PAS, antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post Graduan UPM harus teruskan hubungan baik dengan universiti – Sultan Sharafuddin
Next post 1,365 graduan enam kolej komuniti di Melaka terima sijil dan diploma
Ubah saiz-+=