Rahadiazli Rahalim digugurkan dari kem latihan Harimau Malaya selepas positif COVID-19
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Penjaga gol, Rahadiazli Rahalim digugurkan daripada kem latihan skuad Harimau Malaya selepas disahkan positif COVID-19 berdasarkan keputusan ujian PCR diperoleh lewat malam semalam.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berkata pemain Terengganu FC itu pada sebelah pagi menjalani ujian RTK dengan keputusan negatif diperoleh, namun menunjukkan beberapa simptom sebelum diarahkan membuat ujian PCR pada waktu petang.
“Pengurusan pasukan negara memutuskan untuk tidak memanggil penjaga gol baharu dan mengekalkan tiga penjaga gol sedia ada iaitu Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini (semalam).
Selasa lepas, Pan Gon memanggil pemain tengah Kuala Lumpur City FC Zhafri Yahya, yang berada dalam senarai menunggu, bagi menggantikan penyerang Petaling Jaya City FC Darren Lok, yang didapati positif COVID-19.
Jurulatih dari Korea Selatan itu juga memanggil pemain pertahanan Negeri Sembilan FC Ahmad Khuzaimi Piee bagi menggantikan pemain JDT Syahmi Safari, yang terdahulu memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiga.
Malaysia dijadual berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Peringkat 1 Antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, sebelum menentang pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.