Sorting by

×

Ucapan dasar Zahid tiup semangat penyatuan – Komponen BN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Semangat penyatuan yang ditiupkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi azimat buat parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bekerja lebih keras dan memperkasakan peranan masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pemimpin MCA dan MIC yang hadir mendengar ucapan dasar Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini menyifatkan ucapan berkenaan yang sarat dengan pesanan dan hala tuju itu perlu dihayati semua parti dalam komponen BN.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata untuk berhadapan PRU15, pelbagai aspek boleh diperbaiki bagi memastikan gabungan berkenaan kembali menjadi pilihan rakyat selepas kejayaan yang ditempa pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Kemenangan pada PRN Melaka dan Johor telah memberi motivasi serta semangat kepada parti dan kami melihatnya (kemenangan) sebagai satu bentuk dorongan yang diberikan oleh rakyat kepada BN.

“Banyak lagi sebenarnya perkara yang kami boleh perbaiki untuk berhadapan dengan PRU15. Ini satu cabaran besar dan saya yakin semua parti perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan yang lebih besar berbanding pencapaian pada PRU14 sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan yang mewakili presiden ke perasmian perhimpunan itu berkata penyatuan dalam kalangan ahli adalah kunci utama yang akan membawa kemenangan kepada BN dalam PRU15.

“Kami percaya penyatuan ini akan membawa perubahan yang baik sekali gus memperkasakan parti untuk beroleh kejayaan besar pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post Expo 2020 Dubai: Melaka Week potensi tarik pelaburan, perniagaan RM6.52 bilion
Next post Beg sekolah baharu suntik semangat ke sekolah
Ubah saiz-+=