Teroka bidang lebih mencabar demi UTeM – Hasim
AYER KEROH 17 Mac – “Saya cukup yakin bahawa kita boleh menerokai bidang lebih mencabar bagi meneruskan kegemilangan UTeM sebagai sebuah universiti teknikal terunggul di Malaysia” .
Itu visi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Datuk Seri Dr Hasim Hasan selepas dilantik memegang jawatan itu pada 1 Mac lalu.
Menurutnya, atas semangat itu beliau mahu meneruskan segala pencapaian yang dilaksanakan Pengerusi sebelum ini yang meletakkan UTeM di mercu kejayaan sekarang.
“Visinya mudah..pertamanya saya fikir teruskan apa saja yang ditinggalkan oleh pengerusi lama sebab saya yakin bahawa kerja keras yang lama sudahpun meletakkan UTeM di tempat yang sepatutnya sekarang.
“Atas semangat itu saya fikir kita kena teruskan, bagaimanapun usaha untuk mencari kecemerlangan lebih besar ia tidak akan terhenti,” katanya.
Hasim berkata beliau juga berkesempatan bertemu pengurusan tertinggi UTeM dan diberikan taklimat mengenai perkembangan universiti itu.
“Saya lihat ada banyak ruang untuk kita tambahbaik, jadi saya akan teroka peluang atau ruang untuk tingkatkan lagi kecemerlangan UTeM.
“Kedua saya juga sudah menghadiri majlis konvokesyen UTeM dan saya lihat pengurusannya sangat baik.
“Setiap pelajar membawa ibu bapa hadir sama, sekali gus dapat menghargai pengorbanan serta sokongan ibu bapa mereka sepanjang perjalanan untuk berjaya,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.