Jiran gadai nyawa selamatkan warga emas
BUKIT BERUANG 17 Mac- Seorang wanita warga emas berusia 99 tahun melecur 10 peratus di badannya selepas rumahnya di Jalan Emas, Taman Kerjasama terbakar petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Iswandy Aripin berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.11 petang sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, dalam kejadian itu dua beranak iaitu wanita warga emas berusia 64 tahun dan anak lelakinya berusia 37 tahun, yang juga jiran kepada warga emas turut melecur satu peratus di bahagian tangan ketika menyelamatkan mangsa.
“Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian tujuh minit selepas mendapat panggilan itu, kita dapati 25 peratus daripada rumah tersebut telah terbakar.
“Kita turut difahamkan ketika kebakaran, anak jiran kepada mangsa terpaksa memecahkan pintu pagar gril rumah mangsa untuk selamatkannya.
“Mangsa berjaya diselamatkan dan mengalami melecur 10 peratus pada bahagian seluruh badan dan telah dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika digubungi.
Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan laporan awal, difahamkan mangsa berusia 99 tahun itu tinggal seorang diri di rumah tersebut.
“Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 1.39 petang.
“Operasi memadamkan kebakaran tamat pada jam 2.42 petang tadi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.