Sorting by

×

RM73,000 lesap gara-gara dedah kod TAC

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 17 Mac- Seorang penjawat awam berputih mata selepas wang RM73,000 hasil pinjaman bank baru diterima ‘disedut’ oleh sindiket penipuan dalam talian selepas dia mendedahkan kod pengaktifan transaksi (TAC).

Difahamkan mangsa membuat pinjaman berjumlah RM80,000 untuk mengubah suai kediaman dan baru diterima beberapa hari lalu.

Terdahulu pada 14 Mac lelaki berusia 40 tahun mangsa menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan isterinya tersalah nombor telefon bagi satu transaksi dan kod TAC berkenaan dihantar ke telefon mangsa.

Mangsa yang tidak mengesyaki sebarang perkara aneh kemudian terus menghantar kod TAC baru diterimanya kepada suspek seperti yang diminta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superitendan E Sundra Rajan berkata, selepas menghantar kod TAC kepada suspek, mangsa menerima SMS daripada pihak bank memaklumkan berlaku transaksi membabitkan wang berjumlah RM50,000 daripada akaunnya.

Katanya, pada 15 Mac mangsa membuat semakan semula dan mendapati berlaku satu lagi transaksi berjumlah RM23,000 dari akaun miliknya ke akaun tidak dikenali.

“Lelaki berkenaan kemudian ke bank untuk membuat pengesahan, sebelum ke Balai Polis Ayer Keroh untuk membuat laporan bagi tindakan lanjut.

“Pinjaman daripada bank diluluskan pada 11 Mac dan dalam tempoh tiga hari RM73,000 duit daripada RM80,000 dipindahkan ke akaun tidak dikenali selepas mangsa diperdaya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sundra berkata, sindiket kerap mengubah taktik bagi memperdaya mangsa termasuk dengan menghantar pautan atau link Android Package Kit (APK) untuk dimuat turun.

Menurutnya, sindiket akan menggodam maklumat berkaitan mangsa termasuk menggantikan sistem SMS untuk mendapatkan nombor TAC daripada bank.

Dia memberitahu sistem APK dimuat turun menggantikan sistem SMS sedia ada dan mangsa diarahkan untuk mendaftar aplikasi terbabit dengan mengisi maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon, alamat e-mail, nombor MyKad dan kad bank.

“Selepas mangsa menekan butang hantar akan keluar paparan ‘page error’ kerana aplikasi itu tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang sebenar.

“Penggunaan aplikasi APK ini semata-mata untuk membolehkan sindiket ini mendapatkan akses bagi kandungan SMS dan butiran perbankan kemudian digunakan sindiket untuk pindahkan wang daripada akaun mangsa,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan turut disarankan untuk tidak melakukan sebarang transaksi kepada akaun yang mencurigakan selain menyemak nombor akaun atau nombor telefon dilaman web semakmule.

Jelasnya, mangsa mengalami kerugian wang berjumlah RM73,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

962
Kongsi :
Previous post Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor
Next post Permohonan pembaharuan pasport rakyat Malaysia di Australia bermula 22 Mac
Ubah saiz-+=