Polis Sabah rampas syabu 10 kilogram
KOTA KINABALU, 16 Mac – Polis Sabah merampas 10 kilogram (kg) dadah jenis syabu atau metamfetamin bernilai RM396,000 dan menahan dua individu dalam operasi pada Khamis dan Isnin lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah ACP Lam Thiam Huat berkata polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun yang membawa sebuah kotak berwarna coklat di tempat letak kenderaan Cybercity, Kepayan di sini pada 12.30 tengah hari Khamis.
“Pemeriksaan terhadap kotak itu menemukan empat paket dadah jenis syabu lebih 6kg bernilai RM240,000, dan membawa kepada rampasan tiga paket dadah syabu lebih 3kg bernilai RM120,000 di sebuah apartment di Penampang pada hari sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Lam berkata hasil siasatan lanjut, pada Isnin lepas di Pejabat Pos Tenom polis menemukan sebuah bungkusan mengandungi 10 paket dadah jenis sama dengan berat lebih 1kg bernilai RM36,000.
“Pada hari sama 7.30 malam polis menahan seorang wanita berusia 28 tahun warga tempatan bagi membantu siasatan…polis turut menyita beberapa aset antaranya sebuah kereta Toyota Vios, dua motosikal, seutas rantai emas dan wang tunai kesemuanya bernilai hampir RM100,000.” katanya.
Beliau berkata siasatan juga mendapati modus operandi sindiket pengedaran dadah itu dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk membawa dadah dari Semenanjung ke Sabah yang mana dadah itu dipercayai dijual ke negara jiran.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.