Penubuhan PIP bakal rancakkan perdagangan Malaysia-Thailand- Ismail Sabri
PADANG BESAR, 15 Mac – Penubuhan Perlis Inland Port (PIP) amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan antara Malaysia dan Thailand, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata pada masa ini, nilai dagangan antara Malaysia dan Thailand adalah US$23 bilion (RM96.78 bilion) dengan sejumlah US$10.5 bilion (RM44.18 bilion) disumbangkan melalui perdagangan antara sempadan.
“Ketika lawatan rasmi pertama saya ke Thailand pada Februari lepas, terbukti komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala dan mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan tenaga kerja.
“Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk menyasarkan nilai perdagangan kepada US$30 bilion (RM126.23 bilion) menjelang 2025,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran PIP dan ‘Bonded Road’ di sini hari ini.
Pelancaran majlis itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Ismail Sabri berkata kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.
Perdana Menteri berkata PIP akan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Perlis iaitu Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) dan Perlis Super Fruits Valley.
Perdana menteri berkata dengan pelancaran PIP juga, CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.
Menurutnya, walaupun baharu dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan.
“Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Perlis sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca pandemik yang dapat dilihat menerusi kenaikan jumlah dagangan melalui negeri itu.
Katanya bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu sebanyak RM7.9 billion nilai dagangan melalui negeri itu direkodkan berbanding RM5.4 billion pada tempoh yang sama tahun 2020 dengan penyertaan tenaga kerja pula mencatatkan 64.5 peratus pada suku keempat tahun 2021 daripada 63 peratus bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA,” katanya.
Selain itu Ismail Sabri berkata NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2022.
“Berdasarkan indikator ekonomi yang positif dan memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia dalam wilayah ini memperolehi manfaat, kerajaan Perlis dan NCER perlu terus meningkatkan daya saing dalam era pasca COVID-19 bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa,” tambahnya.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif NCIA Mohammad Haris Kader Sultan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.