Maritim Malaysia tahan tiga bot, rampas 20 bubu naga
KUALA PERLIS, 14 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Kuala Perlis menahan tiga bot tanpa nombor pendaftaran di empat lokasi berasingan yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan maritim di sekitar perairan Kuala Perlis, pagi semalam.
Ia ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman, susulan penemuan pancang-pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air sekitar kawasan bot berkenaan dikesan, serta penemuan peralatan menangkap ikan yang dilarang.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata tangkapan pertama dilakukan pada kedudukan 1.2 batu nautika barat Pulau Ketam, Kuala Perlis melibatkan seorang tekong dan seorang kru warga Thailand berusia 25 dan 38 tahun yang sedang menjalankan aktiviti perikanan menggunakan sembilan set bubu naga pada 8.40 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas tangkapan pertama mendapati bot yang berasal dari Thailand itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 15 (1) (a) penangkapan ikan asing menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 6 (1) (c) memasuki negara Malaysia tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua tangkapan lagi melibatkan dua bot menangguk siput pada kedudukan kira-kira 0.69 dan 0.60 batu nautika barat pantai Kuala Perlis pada 8.56 dan 9.02 pagi.
“Dua tekong dan dua kru warga tempatan berusia 26 sehingga 53 tahun turut ditahan,” katanya.
Mohd Hashim berkata pihaknya turut merampas 11 set bubu naga tanpa pemilik pada kedudukan 0.7 Batu nautika barat pantai Kuala Perlis pada 9.10 pagi.
Menurutnya dalam tangkapan kedua dan ketiga pihaknya mendapati bot nelayan berpangkalan di Kuala Perlis itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya mengendalikan bot tanpa lesen yang sah, serta memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dikeluarkan.
Beliau berkata keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM20,120.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.