Pecahkan sampul ilmu untuk terus ke hadapan – TYT
DURIAN TUNGGAL 14 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) disarankan supaya meningkatkan penyelidikan, pengumpulan dan pemeliharaan ilmu kejuruteraan serta teknologi agar status universiti teknikal pertama di negara terus menjadi pusat rujukan.
Canselornya, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, peranan UTeM yang menjadi institusi rujukan utama sebagai penyumbang solusi terhadap permasalahan industri dan komuniti setempat amat berpadanan.
Beliau yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka berkata, UTeM turut menyumbang kepakaran dalam pembangunan projek kelestarian komuniti negeri Melaka dengan mempelbagaikan aktiviti dalm pembangunan komuniti.
“Boleh saya katakan, UTeM kini menjadi ‘trendsetter’ kepada industri, agensi dan banyak organisasi lain serta menjadi penanda aras dalam bidang kejuruteraan serta teknologi maju pada masa ini.
“Dalam konteks pada hari ini, UTeM bertanggungjawab memecahkan sampul serta menggali ilmu baharu bagi menghasilkan penyelidikan dan inovasi agar terus makmur serta terkehadapan,
“katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen KE-17 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut dihadiri Pro Canselor UTeM Tan Seri Dr Halim Saad dan Datuk Dr Sabirin Ja’afar serta Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Datuk Seri Dr Hasim Hasan, hari ini.
Menurut beliau, selain berperanan sebagai institusi perkembangan ilmu Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), peranan UTeM juga adalah bagi memastikan graduan mendapat peluang pekerjaan yang baik dan mewujudkan peluang keusahawanan.
“Selain itu peranan UTeM juga membolehkan graduan menjadi majikan atau job creator di samping meninggikan taraf ekonomi tempatan khususnya di Melaka kerana inilah peranan yang perlu dimainkan.
“Peranan ini haruslah diperkasa dari masa ke masa supaya keberadaan UTeM di bumi bertuah ini terus dinikmati oleh masyarakat setempat selain saya turut difahamkan pelbagai inisiatif dan projek kolobrasi besama agensi serta industri turut giat dijalankan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis konvokesyen ini yang berlangsung selama lapan sesi, seramai 3, 275 orang graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Kejuruteraan, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.