4,200 murid di Kelantan terima sumbangan Back To School Yayasan Petronas
KOTA BHARU, 14 Mac – Seramai 4,200 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Kelantan menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah, pakaian sukan serta kit kebersihan diri yang disampaikan oleh Yayasan Petronas.
Yayasan Petronas dalam kenyataan berkata sumbangan disampaikan sempena program Petronas Back To School 2022.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Azeman Said kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan di dalam satu majlis ringkas di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
“Sumbangan akan diagihkan kepada 2,600 murid sekolah rendah terpilih di jajahan Machang, Gua Musang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli. Manakala 1,600 lagi sumbangan diagihkan kepada pelajar sekolah menengah rendah terpilih di jajahan Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Putih dan Bachok,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu Yayasan Petronas berkata sumbangan Petronas Back To School 2022 tahun ini memperlihatkan peningkatan jumlah penerima sebanyak 71 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pada tahun ini, sumbangan disampaikan kepada 36,000 pelajar di seluruh negara dengan 22,000 daripadanya terdiri daripada murid sekolah rendah dan 14,000 pelajar sekolah menengah rendah,” kata kenyataan itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.