Melaka Week misi pelaburan terbesar Sulaiman
DUBAI 13 Mac – Melaka Week di Expo 2020 Dubai bermula esok dengan mandat untuk menarik pelaburan baharu ke Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, program yang padat menanti delegasi Melaka sepanjang di negara itu.
Beliau yang tiba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi menemui para delegasi dan berpesan agar semua pihak melakukan yang terbaik dalam usaha menarik seramai mungkin pelabur ke Melaka serta tidak mensia-siakan peluang yang terbuka.
Malah Sulaiman memandang serius setiap gerak kerja sepanjang tujuh hari di Dubai dan berharap semua pihak menjalankan tugas masing-masing dengan bersungguh sungguh.
“Dari Malaysia ke Dubai jarak lebih kurang 5,551 kilometer, peluang ini tidak selalu datang pada kita. Seperti yang selalu saya sebut, Get it Done! Bagi jadi, Kasi jadi! Saya mahukan semua peserta memegang prinsip ini sehingga tugasan kita di sini selesai…Boleh?
“Besar harapan saya agar usaha kita sepanjang Melaka Week di Expo 2020 Dubai yang juga disifatkan sebagai antara misi pelaburan Melaka yang terbesar akan membawa limpahan ekonomi yang besar kepada Negeri Melaka.
“Selepas sahaja majlis makan malam ini, saya berharap semua urusetia dan peserta delegasi Melaka bersiap sedia untuk menyempurnakan tugas dan amanah sepanjang Melaka Week yang akan bermula esok,” katanya.
Sulaiman berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Melaka Week di Expo 2020 Dubai di sebuah Hotel, di sini, malam ini.
Antara kenamaan hadir pada majlis itu adalah Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Mohd Tarid Sufian; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari; EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid.
Ketika berucap Sulaiman berkongsi visinya untuk melihat Melaka kembali menjadi bandar pelabuhan terkemuka dengan aktiviti perdagangan dan destinasi pilihan utama kapal dagang dunia seperti zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
“Umpama bait-bait kata daripada Tome Pires dalam bukunya The Suma Oriental, Melaka adalah sebuah pelabuhan yang sangat penting dan menguntungkan. Tidak ada tempat yang setanding dengannya di seluruh dunia.
“Melaka adalah sebuah negara kota yang dibangunkan untuk tujuan perdagangan, lebih maju berbanding tempat-tempat lain di dunia. Insya-Allah, kita semua mampu mencapai cita-cita ini kembali,” katanya.
Menurutnya pelbagai aktiviti dirancang untuk memeriahkan Melaka Week di Expo 2020 Dubai, antaranya pameran agensi Kerajaan dan syarikat PKS Melaka, Seminar dan Business Talk, padanan perniagaan dan business meeting serta lawatan ke pavilion negara-negara lain.
“Kerajaan Negeri merancang lebih lapan sesi forum dan business talk, enam acara menandatangani
memorandum persefahaman (MoU) dan lebih 30 padanan perniagaan sepanjang Melaka Week.
“Berkait itu juga, saya yakin, penyertaan Melaka Week di Expo 2020 Dubai ini juga akan menjadi tanda aras yang baik bagi mengekalkan hubungan terjalin sejak sekian lama antara Negeri Melaka dan negaranegara yang turut menyertai Expo di sini,” katanya.
Sulaiman turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC); Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Tourism Malaysia yang menjadi tulang belakang dalam menjayakan misi pelaburan sepanjang Melaka Week di Expo 2020 Dubai.
Selain Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sabah dan Selangor turut diberikan slot untuk mempromosikan negeri masing-masing pada Expo 2020 Dubai.
Pengisian program Melaka Week di Expo 2020 Dubai adalah berdasarkan visi Melaka ‘Menuju Negeri Lestari’.
Sementara itu ‘showcase’ pula berkonsepkan Melaka Rumahku: Menuju Negeri Lestari dengan mempamerkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Melaka Lestari (Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 – PSMJ 2035) dan berdasarkan 17 Matlamat Pembangunan Lestari.
Sebanyak 10 agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) antaranya Invest Melaka, MIDA, Perbadanan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Tourism Melaka, Badan Kawal Selia Air (BKSA), Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Perbadanan Bioteknologi Melaka, Jabatan Pertanian Melaka dan Melaka ICT Holdings Sdn Bhd turut sama menyertai Ekspo 2020 Dubai.
Selain itu, Kerajaan Negeri Melaka juga turut membawa bersama 10 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Negeri Melaka untuk mempromosikan produk keluaran negeri Melaka antaranya Cahaya Gemilang Marketing, Asas Matahari, NRB Food Industries, O Seeker Food Sdn Bhd, KS Industrial dan Tools Sdn Bhd.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.