COVID-19 tak halang KAYM anjur pilihan raya kampus
AYER KEROH 12 Mac – Dalam kemeriahan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) turut tidak melepaskan peluang memanfaatkan kehangatan itu dengan mengadakan pilihan raya kampus bagi memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2022/2023.
Pilihan raya kampus yang julung kali diadakan pada 10 Mac lalu itu akhirnya berjaya direalisasikan walaupun pemilihan terpaksa ditangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Pilihan Raya yang juga merupakan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) KAYM Mohamad Nawawi Saad berkata, pilihan raya tetap perlu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada mahasiswa merasai sendiri suasana pilihan raya, selain mengetahui proses sesuatu pilihan raya itu dijalankan.
“Di samping itu juga, pelajar dapat menonjolkan bakat kepimpinan mereka dalam kalangan pelajar itu sendiri.
“Mereka perlu tampil berani berucap di khalayak ramai, tegas, aktif, terampil bukan sahaja dalam akademik malah aktiviti kokurikulum,” katanya.
Beliau berkata, dalam suasana penularan COVID-19 masih meningkat ketika ini, penganjuran pilihan raya KAYM itu turut berdepan cabaran tersendiri.
Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi ialah kekangan berkempen apabila terdapat calon dan pelajar kampus yang dikuarantin kerana positif COVID-19, selain ada di antaranya menjadi kontak rapat.
Meskipun begitu, katanya, pihak KAYM menerusi Jabatan Kaunseling HEP yang diketuai Noriza Hussain mengambil pendekatan suasana norma baharu dengan memperkenalkan kaedah pengundian secara fizikal dan hibrid.
“Melalui kaedah ini, pelajar yang tidak dijangkiti akan membuang undi di Pusat Mengundi yang ditetapkan di kampus.
“Manakala bagi pelajar yang sedang dalam kuarantin atau pelajar jarak jauh, meraka akan mengundi menggunakan sistem secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu, pelajar Diploma Sains Komputer, Nik Aliff Firdaus tetap mengambil peluang untuk turun mengundi walaupun bertongkat kerana mengalami kemalangan kira-kira dua minggu lalu.
“Kita mesti mengundi kerana itu kewajipan kita untuk memilih kepimpinan yang akan mewakili suara pelajar,” katanya.
Selepas sesi pengundian berakhir, KAYM telah mengumumkan senarai 10 calon umum dan 16 calon program yang memenangi pilihan raya MPP sesi 2022/2023 itu.
Majoriti kepimpinan baharu itu dimenangi calon wanita selepas sesi undian selesai dijalankan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.