PRN Johor: Saya mewakili satu keluarga positif COVID-19 – Pengundi muda
MAHARANI, 12 Mac – Pelaksanaan Undi 18 buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan suasana yang cukup dinamik dan berbeza.
Berkongsi pengalaman, seorang pelajar Kolej Matrikulasi Johor, Balqis Md Nazir, 19 tahun ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) berkata, dia selesai membuang undi kira-kira jam 9 pagi tadi.
Kata Balqis, pengalaman mengundi buat kali pertama itu disifatkan cukup bermakna meskipun sayu mengenangkan seluruh ahli keluarganya yang tidak dapat keluar mengundi akibat dijangkiti COVID-19.
“Mereka memang agak terkilan sebab tiba-tiba dapat tahu positif. Saya pula terpaksa kuarantin seorang diri di rumah supaya saya dapat datang hari ini menjalankan tanggungjawab saya sebagai golongan belia.
“Saya datang juga hari ini mewakili mereka sebab PRN ini yang akan menentukan kerajaan negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Bakti Irfan Shukor, 20 berkata, tugas sebagai sukarelawan PRN tidak menghalangnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya memang ada buat misi sukarelawan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tapi saya ambil masa sekejap untuk datang ke sini.
“Kalau ikutkan saya hanya ada masa dua jam untuk pergi mengundi sebelum kembali bertugas.
“Jadi saya gunakanlah kesempatan ini sebaik mungkin sebab ini satu-satunya peluang untuk kita (orang muda) mengundi,” katanya.
Nada sama disuarakan seorang penghidap autism, Airon Huzen, 20 yang bangun seawal jam 6 pagi agar tidak terlepas peluang mengundi seperti rakan-rakan sebaya yang lain.
“Saya nak celup dakwat di jari. Itu yang penting. Saya rasa bangga dan semangatlah sebab inilah kali pertama saya turun mengundi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.