PRN Johor: Yakin tiga DUN di Muar, Bakri milik BN – Ab Rauf
MAHARANI 12 Mac – Barisan Nasional (BN) Melaka yakin calon di tiga daripada lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Bakri dan Muar menjadi milik BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jentera BN Melaka digerakkan ke 65 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 32 di Parlimen Bakri manakala selebihnya di Parlimen Muar.
Katanya, kesemua 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka diberi tanggungjawab untuk menjaga masing-masing tiga PDM bagi memastikan gerak kerja untuk mendekati pengundi dilaksanakan dengan lancar.
“Kita lihat gerakan di bawah Badan Perhubungan UMNO Melaka mampu menarik perhatian masyarakat setempat, disamping kita juga mengiringi calon sewaktu berkempen.
“Rumusan yang dapat dilihat semangat untuk bersama-sama ketika meraih kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka diserap dalam jiwa jentera sepanjang tempoh kempen.
“Dengan komitmen itu, kita yakin dapat capai sasaran daripada lima DUN (dalam Parlimen Bakri dan Muar), dua atau tiga DUN boleh memperolehi kejayaan,” katanya ketika ditemui di Rumah UMNO Bahagian Masjid Tanah, Parit Keroma, Muar hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata meskipun pada peringkat awal tempoh berkempen keyakinan terhadap calon berkurangan.
Namun katanya, jentera perhubungan BN Melaka membantu untuk meyakinkan rakyat mengenai kewibawaan calon yang diketengahkan.
“Calon yang BN ketengahan adalah seorang yang berwibawa mampu membawa kemakmuran kepada negeri ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai penerimaan pengundi muda menerusi pelaksanaan UNDI18, Ab Rauf berkata golongan itu masih keliru dengan kaedah pengundian berikutan kali pertama menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan.
Katanya, menerusi kempen yang dijalankan, jentera BN Melaka memastikan setiap gerak kerja menganjurkan pelbagai program bersesuaian dengan golongan muda selain memberi pendedahan mengenai peranan golongan itu untuk memilih kerajaan yang stabil.
“Anak-anak muda ini kita dapat kesan masih keliru, tidak tahu kaedah mengundi dan sebagainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.