PDRM sedia tambah anggota pantau pembukaan sempadan negara

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

IPOH, 11 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menambah anggota untuk penugasan di sempadan negara, sebaik ia dibuka pada 1 April ini susulan Fasa Peralihan ke Endemik.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata perkara itu, akan dibincangkan kelak dengan lebih lanjut lagi termasuk dari segi jumlah penambahan dan kawasan penugasan.

“Aktiviti penyeludupan di sempadan sering kali berlaku. Kita sentiasa membuat pemantauan walaupun sebelum COVID-19 lagi, termasuk di sempadan perairan negara. Kita tidak menolak untuk menambah anggota kelak apabila sempadan dibuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program komuniti kepolisian, ‘Charity Ride PDRM’ di Mes Pegawai Kanan hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Kerajaan pada Selasa memutuskan untuk membuka semula sempadan negara pada 1 April ini susulan fasa peralihan ke endemik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat bersandarkan tiga perkara iaitu fakta terkini COVID-19, keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Hazani berkata pembukaan sempadan juga memberi peluang untuk menguatkan pengoperasiaan melalui penugasan unit berkuda dan Pasukan Gerakan Am (PGA), dalam membanteras aktiviti penyeludupan ke negara ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post Penjawat awam wanita rugi lebih RM300,000 selepas dihubungi ‘LHDN’
Next post Pengawal keselamatan maut, seorang cedera ditembak di Puchong Prima
Ubah saiz-+=