Kerajaan komited pastikan pekerja GLC, GLIC dibayar minimum RM1,500 sebulan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan komited untuk memastikan pekerja tetap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerima bayaran sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata atas keprihatinan terhadap cabaran kos sara hidup dihadapi rakyat, kerajaan juga telah memastikan bahawa semua penjawat awam menerima gaji serta elaun berjumlah sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

“Tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Terbuka GLC 2022 di sini, hari ini.

Selain itu, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, perdana menteri turut menggesa agar setiap GLC yang tersenarai untuk mencapai tahap penyertaan wanita sekurang- kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada 2023.

“Bukan sahaja sempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, kita juga sepatutnya mengiktiraf secara berterusan peranan wanita sebagai pemimpin dan penyumbang penting kepada kemajuan sosioekonomi dan kemakmuran negara,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, ini juga seiring dengan langkah kerajaan menerusi Bajet 2022 yang mengumumkan bahawa semua syarikat tersenarai diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita sebelum 1 Jun, 2023.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi merealisasikan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kesemua GLC dan GLIC disarankan untuk mempunyai sasaran jangka masa sederhana dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“GLC dan GLIC menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia, memberi pekerjaan langsung kepada setengah juta Keluarga Malaysia dan penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.

“Ia juga penting bagi mencapai aspirasi negara maju melalui RMK12 dalam pembangunan sosioekonomi negara serta keperluan menyusun semula dasar-dasar kerajaan dalam meningkatkan daya tahan rakyat serta daya saing Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Perdana menteri berkata RMK12 turut menggambarkan peranan GLC dan GLIC yang diperkukuh dalam usaha memperluas pasaran eksport, membantu komuniti perusahaan dan menceburi sektor strategik baharu seperti Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan penggunaan data raya dan analisis data.

Malah, beliau berkata GLC turut menjadi antara pemacu utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan menerusi Bajet 2022 seperti JaminKerja Keluarga Malaysia bernilai RM4.8 bilion dan program SemarakNiaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post Agong terima menghadap bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe
Next post Program Transformasi GLC berjaya tingkatkan permodalan pasaran GLC terpilih kepada RM386 bilion
Ubah saiz-+=