23 wakil Malaysia tunjuk kemahiran di WSC Shanghai
TABOH NANING 11 Mac – Malaysia menghantar 23 wakil ke pertandingan kemahiran, ‘WorldSkills Competition’ (WSC) di Shanghai, China, Okt depan.
Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa Kementerian Sumber Manusia A Maniam, mewakili Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Awang Hashim berkata, peserta Malaysia membabitkan pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA/S) serta penuntut Intitusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S).
Maniam berkata, pelajar berkenaan dipilih berdasarkan kejayaan cemerlang selepas pelbagai saringan dan ujian kelayakan dikendalikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Kerja Raya (JKR) dan Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM).
“Penyertaan mereka memberikan pulangan besar dalam usaha pembangunan tenaga mahir negara dan memperoleh pendedahan mengenai teknologi terkini diaplikasi di peringkat dunia.
“Pertandingan ini akan menjadi penanda aras kepada pemain Pendidikan dan Latihan Kemahiran dan Vokasional (TVET) untuk memantapkan kandungan latihan ditawarkan,” katanya ketika membacakan ucapan Awang pada Majlis pelancaran ‘Road to Shanghai 2022’ di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka, di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan berharap penyertaan negara dalam WSC Shanghai membuktikan kepada dunia belia Malaysia mempunyai tahap kemahiran cemerlang setaraf negara maju dunia.
“Pertandingan itu menjadi medan mencungkil dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir bertaraf dunia.
“Selain itu pertandingan ini juga membuka ruang membina jaringan dalam kalangan tenaga kerja mahir bagi berkongsi kepakaran bidang masing-masing,” katanya.
Kementerian menyediakan hadiah wang tunai RM40,000 bagi peserta yang membawa pulang pingat emas manakala perak (RM20,000), gangsa (RM10,000) dan pingat kecemerlangan (RM4,000).
Pemenang pingat emas, perak dan gangsa juga bakal dianugerahkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.