Tetak kepala dan tangan peguam guna parang, lelaki didenda RM5,000

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Seorang lelaki yang menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang kerana berang selepas ditegur tidak memakai pelitup muka sambil menghisap rokok semasa ingin masuk ke dalam sebuah pasar raya, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Samasiveng, 57, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak di sini pada 12.45 tengah hari, 9 Mac lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 11 bulan jika dia gagal membayar denda itu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam serta mangsa telah menerima 10 jahitan di bahagian kepala dan empat jahitan di bahagian tangan.

Peguam T. P Aravind yang mewakili Samasiveng memohon denda minimum dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta seorang isteri yang menghidap penyakit gout, kencing manis dan darah tinggi serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa bersama kakaknya berada di bahagian kaunter di sebuah pasar raya untuk membuat bayaran.

Mangsa kemudiannya menegur tertuduh yang ingin masuk ke dalam pasar raya tersebut kerana tidak memakai pelitup muka sambil menghisap rokok.

Sebaik sahaja mangsa keluar dari pasar raya itu, tertuduh telah menunggu mangsa dan memarahinya dan secara tiba-tiba tertuduh mengambil sebilah parang berukuran 18 sentimeter (cm) dari keretanya lalu menetak di bahagian kepala dan tangan kiri mangsa.

Tertuduh kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post Bangkit dan tingkatkan ekonomi Melaka kembali – KM
Next post Bilik rawatan khas untuk warga emas – Dr Muhamad Akmal
Ubah saiz-+=