Bilik rawatan khas untuk warga emas – Dr Muhamad Akmal
SERI NEGERI 11 Mac – Bilik rawatan khas buat warga emas disediakan di setiap klinik kesihatan di negeri ini bagi memperkasa mutu perkhidmatan kesihatan awam Melaka.
EXCO Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif itu bertujuan memberikan keselesaan dan mengelakkan warga emas daripada menunggu lama bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Insyallah menerusi inisiatif ini masa menunggu bagi warga emas dipendekkan, jadi mereka tak perlu tunggu lama.
“Kerajaan negeri di bawah tampuk pimpinan Barisan Nasional (BN) juga memastikan dalam tempoh 100 hari kemudahan di klinik kesihatan dinaik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pencapaian 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Dan Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) versi 2 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.
Menurutnya, pelbagai inisiatif lain dalam sektor kesihatan akan diperkasakan selain memberi jaminan BN mampu menunaikan segala janji selepas memenangi PRN Melaka, Nov lalu.
Muhamad Akmal berkata, sebelum ini kerajaan berdepan kesukaran untuk membuat keputusan dan melaksanakan polisi berikutan kekangan politik dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Alhamdulillah selepas menang 21 daripada 28 kerusi, kerajaan hari ini lebih stabil, usaha mengatur polisi dan langkah kerja menjadi lebih efisien demi faedah rakyat.
“Hari ini terbukti bahawa semua janji 100 hari telah ditunaikan dan kita menafikan cakap kosong Pakatan Harapan (PH) yang berkata manifesto bukanlah kitab suci.
“Manifesto itu adalah janji kita kepada rakyat dan janji itu juga wajib kita tunaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.