Pencapaian 100 hari: WiFi di 28 JAPERUN dan 30 PEDI
PAYA RUMPUT 10 Mac- Sebanyak 28 Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dilengkapi kemudahan sambungan jaringan jalur lebar (wifi).
EXCO Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata kemudahan itu telah diberikan dalam tempoh 100 hari Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri Melaka selepas memenangi 21 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Nov tahun lalu.
Katanya, antara pencapaian lain yang beliau tunaikan adalah dengan mewujudkan 30 PEDI atau Pusat Ekonomi Digital di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri itu.
“28 Feb lalu telah genap 100 hari, dan pencapaian paling utama yang diletakkan dalam setiap manifesto ADUN adalah dengan mewujudkan jaringan jalur lebar yang bagus di kawasan masing-masing.
“Jadi di setiap JAPERUN dalam Melaka mempunyai WiFi untuk digunakan semua golongan khususnya golongan belia.
“Selain itu, sebanyak 30 PEDI yang merupakan inisiatif daripada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) telah diwujudkan dan kini hanya berbaki sembilan lagi DUN dan jangkaan pada hujung tahun ini semua PEDI telah dapat digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Progra Walk A Mile anjuran Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) di Taman Rempah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rais berkata setakat ini petunjuk prestasi utama (KPI) selama 100 hari menjadi Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, telah berjaya dicapai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.