PPV Offsite pemberian dos penggalak vaksin ditutup secara berperingkat – ProtectHealth
KUALA LUMPUR 10 Mac – PPV Offsite bagi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan ditutup secara berperingkat bermula bulan ini.
ProtectHealth dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat setelah peratusan populasi dewasa yang disuntik dos penggalak setakat ini telah mencapai 64 peratus.
“PPV Offsite telah dibuka untuk merancakkan pemberian dos penggalak dan objektif ini telah tercapai. Pemberian vaksin akan diteruskan PPV Onsite.
“ProtectHealth komited melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan masih membuka PPV Offsite dan Onsite untuk memberi dos penggalak kepada orang ramai.
“Setakat ini sebanyak 1,102 PPV Onsite dan 111 PPV Offsite dibuka pada minggu ini. Sebelum ini lebih 2,000 PPV yang berdaftar di bawah ProtectHealth telah beroperasi dalam memainkan peranan memberi vaksinasi dos penggalak,” menurut kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, mereka yang merancang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak atau dosprimer vaksin COVID-19 (dos 1 dan 2) dinasihatkan untuk menyemak senarai PPV di laman web ProtectHealth: www.protecthealth.com.my untuk mengelakkan sebarang kesulitan.
“Senarai PPV yang berdaftar dengan ProtectHealth akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Datuk Dr Anas Alam Faizli menggesa mereka yang belum mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk segera mendapatkan suntikan dos penggalak itu.
“Ia terbukti berkesan mengurangkan kesan jangkitan COVID-19, mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan juga kadar kematian.
“Kebanyakan PPV Offsite sebelum ini menggunakan dewan komuniti, pusat konvensyen dan pusat membeli-belah, ini memudahkan orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak kerana terdapat banyak pilihan untuk mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara walk-in,” katanya.
Ujarnya lagi, bagaimanapun kebanyakan PPV Offsite di dewan dan pusat membeli-belah akan ditutup secara beransur-ansur tidak lama lagi.
“Jadi dinasihatkan orang ramai segera mendapatkan dos penggalak. Dengan gelombang Omicron yang sedang melanda, vaksinasi terbukti dapat mengurangkan kemudaratan jangkitan COVID-19.
“Marilah kita melindungi diri, keluarga dan semua orang di sekeliling kita dengan mendapatkan vaksin dos penggalak, lindungi kesihatan anda,” katanya.
Untuk rekod sehingga 7 Mac lalu, lebih 15 juta dos penggalak telah diberikan dan 77.5 peratus atau 11.6 juta dos disumbangkan Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.