Lima disyaki terlibat sindiket PLKS, penggubahan wang haram ditahan
Kesemua suspek berumur 34 hingga 47 tahun itu, ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Sumber berkata kesemua suspek terdiri daripada pekerja teknikal dan kakitangan syarikat pembekal dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak 2015 hingga 2020.
“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok melibatkan lebih 100 pertuduhan,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRMÂ Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata pertuduhan akan melibatkan aset-aset dimiliki iaitu hasil aktiviti haram yang diperoleh daripada kegiatan sindiket seperti wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.
Menurutnya, kesemua suspek juga akan dituduh di mahkamah lain antaranya di Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.
Pada April tahun lepas, SPRM dan Jabatan Imigresen melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terbabit dalam pengeluaran PLKS palsu.
Media turut melaporkan sindiket pengeluaran PLKS palsu itu tumpas apabila lima individu termasuk seorang bergelar Datuk, ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi di sekitar Kuala Lumpur.
Berikutan itu, 147 akaun membabitkan 30 individu dan 11 syarikat dengan nilai berjumlah RM9.98 juta dibekukan.
Selain itu, 30 unit hartanah dengan anggaran nilai berjumlah RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta disita serta dibekukan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.