Melaka capai 30 peratus penglibatan wanita sektor awam – Kalsom
BANDA HILIR 9 Mac – Kerajaan negeri berjaya mencapai 30 peratus penglibatan golongan wanita di peringkat pembuat keputusan bagi sektor awam.
EXCO Hal Ehwal Wanita, Datuk Kalsom Noordin berkata bagaimanapun usaha untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam pembuat dasar atau keputusan masih jauh.
“Di Melaka, sektor awam dah capai 30 peratus penglibatan wanita di jabatan dan agensi kerajaan negeri, tetapi untuk pembuat dasar masih belum capai…iaitu hanya 10 peratus.
“Daripada segi politik penglibatan wanita masih tidak ramai dan saya berpendapat golongan wanita ini perlu berusaha lebih lagi untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi.
“Wanita harus bersatu daripada segi membuat dasar dengan memberi pemikiran idea dan sebagainya..tidak perlu ada perbezaan pendapat apabila ada satu dasar dibincangkan atau diajukan, kita wanita harus bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Melaka bertemakan ‘Saksama Bersama’ di pusat beli-belah Dataran Pahlawan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kalsom meminta supaya golongan wanita khususnya di negeri ini menceburi bidang perniagaan sebagai inisiatif menjana untuk pendapatan harian.
“Wanita harus diberikan pengiktirafan yang baik, wanita diberi apa sahaja tugasan insyaAllah wanita akan lakukan sebaik mungkin.
“Di Melaka ada ramai usahawan wanita yang berbilang latar belakang, ada ibu tunggal dan macam-macam lagi…salah satu cara untuk mereka bangkit adalah dengan menceburi bidang perniagaan, tetapi mereka perlu ada ilmu,” katanya.
wanita 1- SEBAHAGIAN jemputan yang hadir pada program tersebut.
wanita 2- KALSOM melakukan gimik perasmian program.
wanita 3- KALSOM melawat gerai pameran usahawan wanita.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.