Kerajaan negeri serah semula projek Melaka Gateway kepada KAJ Development Sdn Bhd

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PULAU MELAKA 8 Mac – Kerajaan negeri bersetuju menyerahkan kembali Projek Melaka Gateway (MGW Project) kepada KAJ Development Sdn Bhd.

EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan akan membawa pulangan mencecah sehingga RM3.4 bilion dan dijangka meningkat kepada RM15.25 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang.

“Projek itu telah dimeterai menerusi perjanjian bagi pelaksanaan di Pulau Satu (PME1) pada 23 Feb lalu oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

“Pembangunan di PME1 akan dimulakan dengan pembinaan Terminal Kapal Pelayaran Antarabangsa (MICT) dijangka siap dalam tempoh 15 bulan dengan jumlah pelaburan RM1.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Projek Melaka Gateway di Pulau Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development Sdn Bhd, Datuk Michelle Ong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu, Pengarah Pembangunan Perniagaan KAJ Development Sdn Bhd, Datuk Kamarudin Ahmad dan lain-lain kenamaan.

Pada lawatan itu Ab Rauf turut meninjau tapak pembangunan di PME1 selain diberikan penerangan mengenai perkembangan terkini projek berkenaan.

Jelasnya, PME1 juga bakal menyaksikan kemunculan taman tema moden bertaraf dunia yang bakal menarik lima juta pengunjung setiap tahun.

“Taman tema ini dijangka siap pada tahun 2026 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.5 bilion.

“Kerajaan negeri juga telah memberi kelulusan kepasa KAJD untuk membangun dan meneruskan operasi Terminal Cruise dalam lingkungan Zon Ekonomi Waterfront Melaka (M-Wez),” katanya.

Tambahnya lagi, keseluruhan projek itu dijangka menarik pelaburan lebih RM46 bilion.

“Ia sekali gus menyumbang lebih RM125 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM1.2 trilion.

“Manakala PME1 sahaja akan menyumbang lebih RM32.5 bilion kepada KDNK Melaka dengan impak berganda sebanyak RM306.73 bilion,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3245
Kongsi :
Previous post Wanita berperanan besar dalam kejayaan negara – Ismail Sabri
Next post KPKT rancang tutup tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada
Ubah saiz-+=