Sorting by

×

Ibu, ayah sebak terima skrol diploma ‘Kak De’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

NILAI, 7 Mac – Seorang bapa Abd Razak Isa, 57, dan isterinya Najah Aspalela Alias, 52, tidak dapat menahan rasa hiba dan pilu sebaik melangkah ke pentas bagi menerima skrol diploma milik arwah anak perempuan mereka, Hanis Nuraishah Nasuha, pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) ke-19 di sini, hari ini.

Allahyarham Hanis Nuraishah Nasuha, 22, yang menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Sains Pertanian pada Mei 2021, meninggal dunia 14 Julai lepas akibat kemalangan ketika balik kerja di kampungnya di Kampung Tedong, Lanchang, Pahang.

Menurut Najah Aspalela, sejak seminggu lepas dia berbelah bagi dan keberatan untuk ke majlis konvokesyen arwah anaknya yang mesra dipanggil ‘Kak De’ kerana bimbang tidak dapat mengawal perasaan sebak ketika berada di atas pentas, sehinggalah semalam baru memutuskan untuk hadir.

“Pak cik yang beri semangat pada mak cik, dia kata meratap apa pun tak guna sebab anak dah tak ada, jadi lebih baik kita pergi untuk meraikan kejayaan Kak De buat kali terakhir.

“Atas dorongan pak cik dan anak-anak lain, mak cik kuatkan semangat untuk datang bagi menghargai hasil kerja keras dan usahanya dalam menamatkan pengajian,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen yang disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini hari ini.

Abd Razak berkata arwah Kak De, yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, amat manja dengannya dan satu-satunya anak yang ingin mengikut jejak langkah dalam bidang pertanian, selain bercita-cita menjadi usahawan berjaya.

“Semasa praktikal di Pertubuhan Peladang Kawasan Lanchang, dia dah bela lembu di kampung, malah ketika dia kerja di sebuah syarikat pertanian, majikan nak jadikan dia rakan kerjasama. Saya fikir satu sahaja, ambil skrol itu tadi sebagai dorongan kepada adik-adiknya supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Abd Razak yang bekerja sebagai pekebun, berkata arwah anaknya merupakan seorang yang komited dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja, serta sering meraih anugerah dekan sepanjang tiga tahun pengajiannya di UCAM, Alor Gajah, Melaka.

Allahyarham Hanis Nuraishah Nasuha yang juga penerima Anugerah Yayasan Risda, antara 845 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-19 UCAM membabitkan cawangan Melaka, Perak, Kelantan dan Pahang, yang berlangsung dua hari bermula hari ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1456
Kongsi :
Previous post Terowong SMART ditutup bagi operasi banjir
Next post Polis rekod keterangan beberapa individu berhubung konsert di bulatan Azlan Shah
Ubah saiz-+=