MAFI cakna masalah dan keperluan pemain industri ternakan
JOHOR BAHRU, 7 Mac – Permasalahan dan keperluan pemain industri penternakan akan terus diberi perhatian oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan hasil pengeluaran yang optimum sekali gus memperkasakan daya tahan sistem makanan negara.
Jaminan itu diberikan Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) di Segamat semalam, bahawa kerajaan telah merangka strategi dan inisiatif untuk membangunkan industri ruminan negara serta memberi impak signifikan kepada industri ternakan negara.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sektor penternakan akan dipergiat untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentasi semua subsektor agromakanan,” kata Ronald dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MAFI hari ini.
Beliau berkata kerajaan telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara (DAIRY PLAN 2021-2025) yang mempunyai pelbagai inisiatif dan insentif bagi membangunkan industri ruminan negara.
Kerajaan juga telah merancang beberapa program yang mampu memberi impak signifikan kepada industri ternakan negara termasuk Program Peningkatan Tenusu Negara, Program Peningkatan Ruminan, Rezeki Ternak Ruminan & Unggas dan Program Taman Kekal Pengeluaran Ruminan, katanya.
Menurut Ronald, industri ternakan ruminan diunjur menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar pertumbuhan enam peratus iaitu daripada RM17.15 bilion pada 2021 kepada RM28.98 bilion pada 2030.
Subsektor itu juga dijangka menyumbang antara 32.32 peratus hingga 36.40 peratus kepada jumlah KDNK sektor agromakanan dari 2021 hingga 2030, katanya.
Pada dialog itu, Ronald memaklumkan sebanyak RM1,076,940 telah diperuntukkan bagi Program Penternak Kecil Projek Rintis Pembangunan Industri Tenusu Negara yang memanfaatkan lapan peserta di sekitar Segamat, manakala 13 penternak muda di Segamat menerima bantuan Program Transformasi Belia Ternak Daerah Segamat berjumlah RM95,200. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.