BKSA, JPS, MPHTJ antara agensi cemerlang di Melaka

Masa Membaca:3 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mac – Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka muncul agensi kerajaan negeri paling cemerlang pada Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Peringkat Negeri Melaka Tahun 2021 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.

Agensi yang mengawal selia perkhidmatan bekalan air mentah negeri itu merangkul tiga daripada keseluruhan 12 anugerah yang dipertandingkan.

BKSA memenangi dua anugerah Projek/Program Terbaik dalam kategori Projek Bukan Fizikal Terbaik dan Anugerah Khas Juri bagi Aspek Inovasi, menerusi penyediaan pelan tindakan kecemasan Empangan Durian Tunggal dan kajian kemungkinan pembinaan Empangan Pantai Coastal Reservior di lembangan sungai-sungai Melaka.

Selain itu BKSA turut meraih satu anugerah Kajian Penilaian Outcome bagi kluster Infrastruktur menerusi Kerja-kerja Mendalamkan Bunded Storage I Dan II, Durian Tunggal serta kerja-kerja yang berkaitan di Daerah Melaka Tengah.

Selain BKSA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut cemerlang dalam majlis itu dengan merangkul dua anugerah.

JPS Melaka dinobat pemenang utama selepas memenangi Anugerah Pengurusan Projek Terbaik Tahun 2020 sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM5,000, trofi dan sijil.

Selain itu JPS turut merangkul Anugerah Kajian Penilaian Outcome (Infrastruktur) menerusi kerja-kerja membina Struktur Lapis Lindung Pantai (Rock Revetment) di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.

Manakala, MPHTJ memenangi kategori Projek Fizikal dengan nilai melebihi RM500,000 dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome (kluster pembangunan sosial), menerusi projek Urban Reforestation Sungai Putat.

Hadiah bagi kesemua pemenang anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari, barisan EXCO Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri Melaka.

Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Peringkat Negeri Melaka Tahun 2021 merupakan acara julung kali diadakan di negeri ini anjuran Pejabat Pemantauan dan Pelaksanaan Negeri Melaka (MIMO).

Ia diadakan bertujuan mengiktiraf jabatan dan agensi kerajaan negeri yang telah berdaya saing dalam meningkatkan kompetensi dan kualiti perkhidmatan bagi melaksanakan projek atau program di Melaka dengan jayanya.

Selain itu, majlis itu juga dirangka bagi memangkin prestasi jabatan serta agensi yang telah melaksanakan pelbagai projek atau program pembangunan fizikal dan bukan fizikal untuk memastikan Melaka membangun mengikut keperluan semasa.

Sebanyak lima elemen diambil kira bagi menentukan pemenang bagi Anugerah Projek/Program Terbaik, manakala pemenang Anugerah Kajian Penilaian Outcome Melaka Tahun 2021 pula ditentukan menerusi 11 parameter.

SENARAI PENUH PEMENANG

>> Anugerah Projek/Program Terbaik Negeri Melaka:

1. Kategori Projek Fizikal dengan nilai melebihi RM500,000:
Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) – Urban Reforestation Sungai Putat, Fasa 1-3

2. Kategori Projek Fizikal dengan nilai tidak melebihi RM500,000:
Pejabat Daerah dan Tanah Jasin (PDTJ) – Menyediakan Sistem Perparitan Yang Terancang Dan Sistematik Di Kampung Seri Mendapat, Sungai Rambai, Jasin

3. Kategori Projek Bukan Fizikal/Program:
Badan Kawal Selia Air (BKSA) – Penyediaan Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Durian Tunggal

4. Pemenang Keseluruhan Pengurusan Projek Terbaik Tahun 2020:
Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Melaka

5. Anugerah Khas Juri bagi Pembentang Terbaik:
Pejabat Daerah dan Tanah Jasin (PDTJ)

6. Anugerah Khas Juri bagi Aspek Inovasi:
Badan Kawal Selia Air (BKSA) – Kajian Kemungkinan Pembinaan Empangan Pantai Coastal Reservior Di Lembangan Sungai-sungai Negeri Melaka

>> Anugerah Kajian Penilaian Outcome Peringkat Negeri Melaka Tahun 2021:

1. Pembangunan Sosial:
Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) – Urban Reforestation Sungai Putat

2. Infrastruktur:
Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka – Kerja-kerja Membina Struktur Lapis Lindung Pantai (Rock Revetment) Dan Lain-lain Kerja Yang Berkaitan Di Kg. Balik Batu, Tanjung Bidara

3. Infrastruktur:
Badan Kawal Selia Air (BKSA) – Kerja-kerja Mendalamkan Bunded Storage I Dan II, Durian Tunggal Serta Kerja-kerja Yang Berkaitan Di Daerah Melaka Tengah

4. Sistem
Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) – Pembangunan Migrasi Web Mapping Engine Sistem Aplikasi Melaka Geographic Information System (MELGIS) Daripada Open Source Kepada Perisian Berlesen Mapinfo Extreme

5. Pelancongan
Jabatan Perhutanan Negeri Melaka – Projek Penyelenggaraan Taman Botanikal Melaka

6. Anugerah Khas Juri
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) – Sistem Pejalan Kaki Automatik (SIPKA)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1905
Kongsi :
Previous post Indonesia buka semula perkhidmatan visa semasa ketibaan ke Bali
Next post COVID-19 184 kes baharu kategori tiga hingga lima
Ubah saiz-+=